Google labur AS$10 bilion di India

NEW DELHI, 13 JULAI – Syarikat teknologi Amerika Syarikat, Google telah melaburkan dana berjumlah AS$10 bilion untuk membantu mempercepatkan peralihan India kepada ekonomi digital dalam tempoh lima sehingga tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Google Aplhabet Inc, Sundar Pichai, berkata hari ini yang projek itu akan memfokuskan terhadap pembinaan produk yang relevan dengan keperluan India dan memperkasa perniagaan bagi ‘transformasi digital’ mereka.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan India bukan hanya memperolehi manfaat daripada gelombang baharu inovasi itu, namun juga akan mendahuluinya,” kata Pichai dalam ucapan digital di Google bagi acara India.

Syarikat itu juga mengumumkan ia akan melabur AS$1 juta bagi membantu pendidikan digital di India.

Ia berkata dana itu akan membolehkan satu juta guru di 22,000 buah sekolah seluruh negara itu akan menggunakan perkhidmatan Google yang boleh memudahkan pembelajaran online.

Perdana Menteri Narendra Modi telah menjadikan digitalisasi satu keutamaan bagi India.

Beliau menjangkakan ‘Digital India’, di mana akses Internet berkelajuan tinggi akan memperkasa para usahawan untuk membina perisian dan produk-produk teknologi lain bagi membantu meningkatkan taraf hidup dalam sebuah negara di mana kebanyakan penduduk masih lagi kurang berkemampuan.

Modi menggelar dirinya sebagai pemimpin berkaitan dengan teknologi.Beliau mempunyai hampir 60 juta pengikut Twitter.Modi berkata dalam satu catatan di Twitter yang dia dan Pichai bertemu dan berbincang mengenai pelbagai perkara, “terutamanya memanfaatkan kuasa teknologi untuk mentransformasikan kehidupan para petani, belia dan usahawan India.”

“Saya teruja untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang usaha @Google dalam beberapa sektor, sama ada dalam pendidikan, pembelajaran, @_DigitalIndia, bayaran digital dan seterusnya,” katanya. – AP

Gambar fail yang diambil pada 23 Mac 2018 menunjukkan logo Google di tepi bangunan Pejabat Google India di Hyderabad. Google pada 13 Julai mengatakan akan melabur AS$10 bilion di India untuk lima hingga tujuh tahun untuk mempercepatkan peralihan ekonomi digital India. – AFP