BEIJING, 19 Jun – Google akan melabur lebih setengah bilion dolar dalam syarikat e-dagang kedua terbesar di China JD.com sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengembangkan perkhidmatan runcit di seluruh dunia, kata syarikat semalam.
Pengumuman itu keluar tatkala syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu mendesak Google Shopping, platform yang membenarkan pelanggan membandingkan harga di antara penjual berlainan, yang menimbulkan satu cabaran kepada Amazon.
Firma itu akan menyatukan rangkaian bekalan JD dan pengalaman logistik dengan teknologi Google untuk mewujudkan runcit peribadi ‘generasi akan datang’ di rantau termasuk Asia Tenggara, AS dan Eropah, kata kenyataan bersama.
“Perkongsian dengan Google ini membuka pelbagai kemungkinan untuk menawarkan pengalaman runcit kepada pengguna di seluruh dunia,” kata ketua pegawai strategi JD.com Jianwen Liao.
Google akan memperuntukan AS$550 juta dalam wang tunai dalam JD.com dan sebagai tukaran, syarikat yang berpangkalan di California itu akan menerima 27.1 juta saham biasa Kelas A syarikat JD.com yang baharu dikeluarkan.
Saham itu adalah bersamaan dengan saham satu peratus dalam syarikat, menurut jurucakap JD.com.
Ketua pegawai perniagaan Google, Philipp Schindler berkata tindakan tersebut akan memberikan pelanggan “kuasa untuk membeli-belah di mana-mana dan dalam apa cara yang diingini oleh mereka.” – AFP