Google lancar hab data baharu

WARSAW, 14 APRIL – Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Google hari ini melancarkan hab data baharu di Warsaw – yang pertama di Eropah Tengah dan Timur – dengan pelaburan berjumlah hampir AS$2 bilion.

Perdana Menteri Mateusz Morawiecki menyambut baik hab baharu itu dengan berkata ia akan memastikan ‘perkhidmatan lebih baik dari entiti swasta dan awam’ dan memperkukuh keselamatan disebabkan data akan disimpan di Poland.

“Kami berharap rantau Google Cloud baharu akan membantu dalam pemulihan pandemik sekali gus menyumbang kepada ekonomi digital yang berkembang pesat di Poland dan negara jiran,” kata Magdalena Dziewguc, pengurus Google Cloud dalam satu kenyataan.

Kuasa usaha kedutaan AS Bix Aliu berkata syarikat AS telah melabur kira-kira AS$60 bilion di Poland dan Google ‘menambah hampir AS$2 bilion kepada jumlah tersebut dengan mengembangkan perkhidmatan awan.’

Ekonomi Poland mencatat kemelesetan untuk kali pertama sejak kejatuhan fahaman komunis tiga dekad lalu disebabkan krisis koronavirus tetapi ia dijangka berpulih pada tahun ini.

Kerajaan Poland dalam dasar ekonomi negara telah memberikan tumpuan pada pembangunan sektor teknologi.

Microsoft mengumumkan pada tahun lalu bahawa ia akan melabur satu bilion di Poland untuk membantu mengembangkan operasinya, termasuk penubuhan hab data pengkomputeran awan baharu. – AFP

Kelihatan logo syarikat teknologi dan perkhidmatan Internet Amerika, Google (tengah), Facebook (atas), Twitter, TikTok, Snapchat dan Instagram (atas kiri) di skrin komputer di Lille. Google hari ini melancarkan hab data baharu di Warsaw dengan pelaburan berjumlah hampir AS$2 bilion. – AFP