Google Maps pamerkan amaran transit COVID-19

SAN FRANCISCO, 10 JUN – Satu versi baharu perkhidmatan pemetaan Google yang sedang dilancarkan akan memaparkan amaran transit berkaitan pandemik dan memberitahu orang apabila bas atau kereta api mungkin terlalu sesak.

Versi terkini aplikasi percuma untuk telefon pintar yang menggunakan perisian Apple atau Google juga membenarkan pemandu mengetahui mengenai tempat pemeriksaan COVID-19 atau sekatan di laluan mereka.

“Kami memperkenalkan ciri-ciri untuk membantu anda mencari maklumat penting dengan mudah jika anda perlu keluar, sama ada dengan kereta atau pengangkutan awam,” kata pengarah pengurusan produk Google Maps Ramesh Nagarajan dalam blog.

Amaran mengenai notifikasi tempat pemeriksaan COVID-19 akan bermula dengan lintasan di antara AS dan Kanada atau Mexico. Apabila orang menggunakan Maps untuk perjalanan dengan transit awam, Google akan memberikan maklumat yang ada mengenai sama ada jadual adalah terhad, penutup mulut dan hidung mesti dipakai, atau orang ramai dijangkakan.

“Memiliki maklumat ini sebelum dan semasa perjalanan anda adalah penting untuk pekerja penting yang perlu mengadakan perjalanan ke tempat kerja dan akan menjadi amat penting untuk semua orang tatkala negara di seluruh dunia mula membuka semula sempadan mereka,” kata Nagarajan.

Gambar menunjukkan aplikasi peta Google memaparkan pusat perubatan atau pusat ujian COVID-19 di telefon pintar di Arlington, Virginia pada 9 Jun 2020.- AFP

Amaran transit sedang diperkenalkan di Argentina, Australia, Belgium, Brazil, Britain, Colombia, Perancis, India, Mexico, Belanda, Sepanyol, Thailand dan AS, di mana maklumat daripada agensi transit tempatan boleh diperoleh.

Orang yang menggunakan Maps untuk mengunjungi pusat perubatan atau pusat ujian COVID-19 akan ditunjukkan peringatan untuk mengesahkan kelayakan dan garis panduan untuk mengelak daripada diusir, menurut Nagarajan.

Amaran untuk mereka yang berkunjung ke pusat perubatan boleh diperoleh di Indonesia, Israel, Filipina, Korea Selatan dan AS mulai minggu ini.

“Kami akan menunjukkan amaran berkenaan di mana kami telah menerima data kebenaran dari kerajaan tempatan dan persekutuan atau dari laman web mereka,” kata Nagarajan.

“Dan kami sedang bekerjasama dengan agensi lain di seluruh dunia untuk membawa data berguna ini kepada pengguna dalam Google Maps.” – AFP