Google, penerbit Jerman capai perjanjian isi kandungan

BERLIN, 21 NOV – Google berkata ia telah menandatangani perjanjian dengan beberapa penerbit besar Jerman untuk mengelak perbalahan hak cipta berhubung penggunaan isi kandungan mereka.

Syarikat gergasi Internet itu berkata ia mencapai perjanjian dengan penerbit termasuk akhbar mingguan Der Spiegel dan Die Zeit, portal teknologi Golem dan Netzwelt, serta penerbitan perniagaan Wirtschafts Woche dan Manager Magazin.

“Pelbagai rundingan dengan beberapa penerbit telah memasuki peringkat akhir,” tambah Google dalam satu kenyataan.

Tindakan itu diambil selepas Jerman memperkenalkan undang-undang hak cipta baharu pada Jun yang memberikan hak tambahan kepada penerbit berhubung isi kandungan mereka.

Undang-undang baharu itu membezakan di antara penggunaan petikan ringkas – digelar coretan – dan previu lanjutan, namun tidak menyatakan batasannya. – AP

Fabrice Fries (kanan) bergambar dengan pengarah urusan Google Sebastien Missoffe di ibu pejabat AFP di Paris pada 17 November 2021. – AFP