Google perketat dasar iklan politik

SAN FRANCISCO, 21 NOV – Google kelmarin telah mengemas kini semula cara mengendalikan iklan politik ketika platform atas talian digunakan sebagai penyebar maklumat mengelirukan bagi mempengaruhi pengundi.

Syarikat Internet itu berkata peraturan baharunya telah melarang sebarang pengiklanan berbaur kempen politik dan berbentuk penipuan.

Namun syarikat gergasi Internet itu mahu supaya dasar berkenaan lebih jelas dan memberi lebih banyak contoh bagaimana kandungan terlarang seperti imej atau video yang diubah suai atau dimanipulasi.

“Ia melanggar dasar kami bagi sebarang pengiklan untuk membuat dakwaan palsu, sama ada ia mengenai penentuan kerusi atau dakwaan anda boleh mengundi menerusi mesej teks, tarikh pilihan raya ditangguhkan atau calon meninggal dunia,” kata Timbalan Presiden Pengurusan Produk Iklan Google, Scott Spencer dalam satu kenyataan.

Contoh bahan iklan terlarang termasuk iklan atau pautan kepada maklumat dakwaan palsu yang boleh mengurangkan kepercayaan pengundi atau penyertaan mereka pada hari mengundi.

“Sudah tentu, kami mengiktiraf dialog politik sebagai bahagian penting dalam demokrasi dan tiada siapa boleh mengadili dengan bijak semua dakwaan politik, dakwaan balas atau sindiran.

“Jadi, kami menjangkakan bilangan iklan politik yang akan diambil tindakan amat terhad, tetapi kami akan terus berbuat demikian bagi pelanggaran peraturan yang jelas,” kata Spencer. – AFP

Gambar fail pada 1 November 2018 menunjukkan logo Google di pejabatnya di Granary Square. – AP