Google tawar perkhidmatan konferensi video percuma

SAN FRANCISCO, 29 APRIL – Google kelmarin menawarkan perkhidmatan konferensi video secara percuma kepada semua pengguna, meningkatkan persaingan untuk Zoom ketika permintaan dalam penggunaan komunikasi dalam talian semakin meningkat ketika krisis pandemik COVID-19.

Google Meet sebelumnya telah menyediakan perkhidmatan khusus iaitu perisian G Suite kepada pelanggannya bagi tujuan perniagaan.

Meet akan tersedia “untuk semua pengguna di seluruh dunia, bagi membolehkan semua lapisan masyarakat berkomunikasi dan benar-benar berhubung dengan lebih berkesan di tengah-tengah penularan wabak ini,” kata naib presiden G Suite Javier Soltaro kepada AFP. Google juga melengkapinya dengan ciri keselamatan dan kebolehpercayaan Meet yang berasaskan perkhidmatan cloud yang berpusat di California.

Penggunaan panggilan video dan konferensi dilihat semakin meningkat selepas orang ramai bekerja dari rumah dan pelajar menjalani pembelajaran dari rumah serta untuk berhubung antara satu sama lain dari jarak jauh untuk mengelakkan penularan virus.

Kebanyakan pelanggan beralih ke Zoom, yang telah berusaha mengatasi masalah keselamatan seperti penggodaman data dan gangguan daripada individu dalam apa yang disebut sebagai ‘Zoombombing.’

Google dalam catatan blognya mengatakan bahawa “telah bertahun-tahun melabur untuk menjadikan Meet sebagai penyelesaian konferensi video yang selamat dan boleh dipercayai oleh sekolah, kerajaan dan perusahaan di seluruh dunia.”

Orang ramai hanya perlu atau membuka akaun Google untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat melalui konferensi video, yang akan terhad selama 60 minit dan akan bermula pada hujung September, menurut syarikat itu. Google mengatakan akses percuma akan dilancarkan secara beransur-ansur dalam beberapa minggu mendatang. Sebanyak enam juta perniagaan dan organisasi dari hospital dan bank ke kemudahan pembuatan dan gudang yang sudah menggunakan G Suite sudah mempunyai akses ke konferensi video Meet, menurut Google. – AFP

Gambar fail pada 2 Jun 2019 menunjukkan logo Google di luar bangunan utamanya di New York. Google bakal menawarkan perkhidmatan konferensi videonya secara percuma kepada semua pengguna. – AFP