Gorila buru habitat baharu di Rwanda

TAMAN NEGARA VOLCANOES, RWANDA – Gorila jantan silverback yang besar kelihatan sedang menggigit sebatang buluh sebelum mengeluarkan bunyi kentut yang kuat, tidak sedar dengan sekelilingnya ketika beberapa pekebun bekerja di ladang subur tidak jauh dari tempatnya.

Dengan ratusan ekor gorila tinggal di gunung, Taman Negara Volcanoes di Rwanda adalah tempat pemuliharaan yang berjaya.

Tetapi kewujudannya tidak berlaku tanpa akibat, ketika makhluk-makhluk hebat ini telah bergelut kerana kekurangan tempat untuk membesar dan berkembang.

Satu-satunya habitat untuk gorila gunung ialah terletak di Rwanda, Uganda dan juga Republik Demokratik Congo, banjaran Virunga dan lapan buah gunung berapi di tengah rantau Great Lakes yang mempunyai penduduk ramai di Afrika, di samping hutan Bwindi di Uganda.

Para pegawai di taman Rwanda bangga dengan kejayaannya dalam membangkitkan semula populasi primat itu.

Prosper Uwingeli, ketua Taman Negara Volcanoes, bergambar di taman negara Rwanda. – AFP
Ukiran gorila gunung dilihat di pintu masuk Taman Negara Volcanoes di Rwanda. Dengan beratus-ratus gorila gunung di tempatkan di Taman Negara Volcanoes di Rwanda, ia menunjukkan kejayaan pemuliharaan. – AFP

“Dalam banci yang kami buat pada 2010, bilangan gorila gunung ini sebanyak 880 ekor; pada tahun 2015 pula kami berjaya membuat banci baharu yang menunjukkan 1,063 ekor gorila” di Virunga dan taman Bwindi, kata seorang renjer, Felicien Ntezimana kepada AFP, sebelum mengetuai perjalanan ke dalam hutan tebal di tempat haiwan itu tinggal.

Dengan pemulihan ini, gorila gunung, yang dikenali pasti memiliki bulu tebal yang berkilau, sekarang telah dimasukkan dalam senarai spesies ‘terancam’ oleh Persatuan Antarabangsa Pemulihan Alam Sekitar, sementara beberapa jenis beruk yang lain kekal dalam senarai haiwan ‘terancam secara kritikal’.

Haiwan ini mempunyai sejarah panjang sejak tahun 1980an apabila berdekad-dekad pemburuan haram menyebabkan populasinya jatuh 250 ekor di seluruh banjaran Virunga, dan pakar primatologi Amerika terkenal, Dian Fossey telah dibunuh di taman Rwanda dipercayai atas usaha anti-pemburuan haramnya.

Langkah-langkah keselamatan ketat dan usaha untuk memujuk orang kampung membantu mengembalikan semula nasib gorila gunung tersebut juga membuahkan hasil.

Hari ini, sebanyak 10 peratus daripada kos satu keping tiket AS$1,500 akan diberikan kepada projek komuniti sementara 5 peratus lagi akan diserahkan kepada dana pampasan untuk penduduk kampung.

Jauh dari perasaan benci dan takut berbanding pada masa lalu, gorila sekarang dilihat sebagai salah satu kunci kepada sumber kewangan komuniti untuk masa hadapan, kata Jean-Baptiste Ndeze, warga emas yang tinggal di Musanze, bandar bersempadan dengan taman itu.

“Pelancong keluarkan duit untuk mereka, yang mana akan kembali kepada kami dalam bentuk makanan, tempat perlindungan dan kehidupan lebih baik,” katanya kepada AFP.

Pembunuhan anak haiwan dan penyakit

Sementara sektor pelancongan telah menyumbang sebanyak AS$25 juta kepada ekonomi sebelum pandemik Rwanda, kejayaan dalam pemuliharaan taman itu menyebabkan akibat yang tidak dijangka.

Sekitar 25 tahun lalu, pihak berkuasa Rwanda telah memantau sekitar 100 beruk dalam hutan. Hari ini, sebanyak 380 ekor gorila telah menjadikannya sebagai tempat tinggal, menurut kiraan rasmi.

Hasil daripada pelancongan dan interaksi dengan pengkaji-pengkaji, primat itu terbiasa dengan manusia, dan mereka tidak takut untuk pergi ke tempat kawasan ramai kerana habitatnya semakin sempit.

“Kami kerap melihat beberapa ekor gorila keluar dari taman dan mencari sumber makanan di luar dan juga pergi jauh dari pinggir taman itu,” kata Felix Ndagijimana, yang mengetuai Dana Gorila Dian Fossey.

Keputusannya boleh menjadi teruk

Kekuatan dimiliki haiwan ini, seekor gorila jantan boleh mencecah 200 kilogram, tetapi mudah terdedah dengan penyakit manusia seperti influenza, pneumonia dan Ebola.

Jumlah gorila meningkat juga boleh menyebabkan pergaduhan antara primat ini yang boleh membawa maut kepada spesies yang lebih muda.

Selepas menyaksikan pertumbuhan bilangannya perlahan pada dekad lalu, Ndagijimana dan rakan sekerjanya membuat kajian menunjukkan lima kali ganda dalam kematian anak haiwan.

“Kematian anak haiwan adalah masalah besar kerana ia akan mempunyai kesan negatif kepada peningkatan populasi gorila,” ujarnya kepada AFP.

Pemindahan

Masalah ini lebih ketara di Rwanda berbanding dengan negara jiran.

Hanya sebuah keluarga gorila tinggal di Ugandan dekat banjaran Virunga, sementara taman Congo ‘besar’ jika dibandingkan dengan hutan Rwanda, kata Benjamin Mugabukomeye dari Program Pemuliharaan Gorila Antara-bangsa, sebuah persatuan serantau.

Dalam menangani isu tersebut, Rwanda bercadang untuk memperluaskan lagi taman mereka, menambah 23 peratus kawasan untuk dekad selanjutnya.

Impian projek ini dijangka dilaksanakan tahun hadapan dan akan memindahkan sekitar 4,000 buah keluarga petani.

“Proses ini dibuat dengan berhati-hati,” kata pengarah taman Prosper Uwingeli kepada AFP, tambahnya lagi para pegawai yang melaksanakan kajian dan cadangan untuk menyediakan tapak lokasi baharu.

Pihak berkuasa berhasrat untuk memberikan pampasan kepada keluarga yang dipindah dan menempatkan mereka di ‘model perkampungan’ yang baru dibina dengan prototaip dibina di Musanze.

Selain membina sekolah besar dan ladang ternak, kampung itu juga akan memiliki apartmen bersih dan rapi yang lengkap dengan perabot. Dengan kerajaan menegaskan pemindahan tersebut akan memberi manfaat kepada para petani.

Beberapa buah keluarga tinggal di pinggir taman merasa risau tidak mempunyai banyak pilihan tetapi terpaksa untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara.

Gorila bukanlah satu masalah tetapi lokasi tempat mereka akan memindahkan kami, tanahnya tidak subur,” adunya. – AFP