Gorila terima rawatan COVID-19

WASHINGTON, 12 SEPT – Beberapa ekor gorila di Zoo Atlanta di negeri selatan Amerika Selatan (AS), Georgia diuji positif virus COVID-19, kata zoo itu.

Gorila terbabit diuji selepas penjaga melihat haiwan itu batuk dan gejala lain, katanya.

Ujian awal menunjukkan haiwan itu positif terhadap virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 dan zoo itu menyatakan dalam satu kenyataan Jumaat lalu bahawa pihaknya sedang menunggu keputusan ujian pengesahan dari Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional di Ames, Iowa.

Gorila yang berisiko mengalami komplikasi sedang dirawat dengan antibodi monoklonal dan seluruh populasi zoo sebanyak 20 gorila sedang diuji.

“Pasukan ini mengawasi gorila yang terjejas dengan teliti dan berharap ia akan pulih sepenuhnya. Haiwan-haiwan itu mendapat rawatan terbaik,” kata Sam Rivera, pengarah kanan kesihatan haiwan di Zoo Atlanta.

Zoo itu menyatakan ia percaya gorila dijangkiti oleh penjaga asimtomatik, walaupun pekerja itu diberi vaksin sepenuhnya dan memakai alat pelindung diri. Atlanta Journal-Constitution melaporkan 13 gorila zoo dijangkiti, termasuk Ozzie yang berusia 60 tahun, gorila jantan tertua dalam kurungan. – AFP