Personaliti media sosial Indonesia, Aurel Hermansyah tidak pernah bertanya tentang kebenaran di sebalik gosip mengatakan suaminya bakal berkahwin dengan pelakon Ria Ricis.
Aurel berkata, dia enggan membangkitkan perkara itu kepada Atta Halilintar kerana enggan bergaduh selain tidak percaya dengan gosip diperkatakan.
“Saya hanya mampu ketawa malah tidak akan bertanya tentang perkara yang saya tidak tahu kebenarannya.
“Selagi saya tak nampak dengan mata sendiri, lebih baik diam sebab ia boleh menyebabkan pergaduhan pula di antara kami,” katanya, memetik laporan mStar.
Sekiranya perkara diperkatakan itu fitnah, Aurel mahu pemfitnah dikenakan hukuman kerana berita disebarkan sudah mengganggu rumah tangga mereka.
“Apa yang kami suami isteri tidak dapat terima apabila gosip-gosip yang berleluasa dalam media sosial mungkin akan diketahui oleh anak-anak satu hari nanti.
“Takut mereka akan tanya saya dan Atta pernah melalui semua perkara ini? Itu yang membuatkan saya marah,” ujarnya.
Sebelum ini, tular khabar angin mendakwa Atta bakal berkahwin dua.
Lebih mengejutkan, wanita yang dituduh bakal calon isteri keduanya adalah pelakon Ria Ricis yang kini sudah bergelar janda. – Agensi