Gotong-royong bersihkan kawasan masjid

BELAIT, 18 DIS – Bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat, Kumpulan Peminat kereta Vellfire dan Alphard Brunei, bersama ahli-ahli Ja-watankuasa (AJK) Takmir Masjid Zainab Lumut, telah mengadakan kempen kebersihan dan bergotong-royong di kawasan Masjid Zainab Lumut, baru-baru ini.

Seramai 20 orang ahli kumpulan yang diketuai oleh Awang Osman Zaini bin Abdullah, terlibat dalam aktiviti amal itu.

Turut hadir ialah bilal masjid berkenaan, Haji Sofian bin Bidin dan Pegawai Hal Ehwal Masjid Zainab Lumut, Awang Didi Normady bin Haji Awang Ahmad serta empat orang ahli AJK Takmir Masid Zainab Lumut.

Menurut kenyataan yang diberikan, selain membersihkan kawasan masjid, kempen berkenaan juga bermatlamat untuk menekankan kepentingan masjid sebagai tempat ibadat bagi penduduk sekitarnya.

Kempen bertujuan untuk menyemai sikap bekerjasama dalam menjaga kebersihan yang sememangnya digalakkan dalam Islam serta memupuk kesejahteraan sesama penduduk kampung.

Di samping itu, ia juga merupakan usaha untuk menanamkan sikap pemedulian terutamanya terhadap kebersihan kawasan sekitar masjid yang boleh menjadi contoh bagi penduduk kampung untuk menjadikan budaya kebersihan sebagai amalan harian.

Salah seorang ahli ketika membersihkan kawasan masjid. – Gambar oleh Pengiran Shafree bin Pengiran Damit