Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Team Miraputra Projek Impian Cahaya Iman bersama beberapa ahli Jawatankuasa Induk Persaudaraan Baden Powell (B.P Guild), Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPDB) telah mengungkayahkan kerja amal gotong-royong membersihkan kawasan rumah sebuah keluarga kurang berkemampuan di Perpindahan Kampung Katok A.
Kerja gotong-royong itu turut disokong oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Ia merupakan salah satu aktiviti kerjasama antara B.P Guild dan Team Miraputra Projek Impian Cahaya Iman yang antara lain bertujuan untuk memeduli dan menolong orang yang kurang berkemampuan di negara ini serta meningkatkan lagi semangat kesukarelawan dalam kalangan masyarakat Brunei.
Antara yang turut hadir semasa aktiviti amal itu ialah Ketua Kampung Kawasan 3, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Tungku, Haji Adanan bin Haji Bagol dan pegawai dari JAPEM, Dayang Fatin Wahid.