Gotong-royong bersihkan masjid

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sempena menyambut kedatangan Awal Tahun Hijrah 1442, ahli-ahli jawatankuasa (AJK) takmir, Muslimah, belia dan beliawanis Masjid Kampung Sungai Besar telah bergotong-royong membersihkan masjid berkenaan, kelmarin.

Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit melahirkan rasa penghargaan kepada semua ahli yang sama-sama berganding bahu menyertai aktiviti gotong-royong berkenaan.

“Dalam kitani sama-sama mengadakan aktiviti mentakmirkan masjid ini, aktiviti yang dilaksanakan ini juga menjadi landasan terbaik bagi mengekalkan ikatan persaudaraan yang harmoni, mesra dan bermuafakat,” jelasnya.

Aktiviti tahunan itu turut dihadiri oleh Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang sama-sama menyertai kempen kebersihan di dewan sembahyang dan kawasan perkarangan masjid berkenaan.

Kerja gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Kampung Sungai Besar. – Gambar serahan Jawatankuasa Takmir Masjid Sungai Besar