Gotong-royong cantas ranting pokok demi keselamatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya di sekitar Jalan Tanjung Selasih dan Jalan Sungai Carana, Komuniti Sukarelawan bersama-sama penduduk RPN Kampung Panchor, Mengkubau telah menganjurkan kerja bergotong-royong mencantas ranting pokok yang berjuntai ke jalan raya.

Kegiatan itu dilakukan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan berkenaan, memandangkan terdapat sebahagian daripada dahan-dahan pokok berkenaan sudah semakin condong ke kawasan jalan dan ia turut menjadi kebimbangan penduduk di sini.

Ketua Komuniti Sukarelawan Mengkubau, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat menjelaskan, penduduk kampung di kawasan ini risau dengan dahan-dahan yang condong dan menutup pandangan pengguna jalan terutama mereka yang ingin keluar simpang.

Sehubungan dengan itu, komuniti tersebut bertindak untuk melaksanakan segera kerja gotong-royong ini yang turut disertai penduduk setempat, jelas salah seorang penduduk yang mengikuti aktiviti kempen itu.

Di samping itu, dengan adanya kempen tersebut, ia dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan masyarakat setempat dan memupuk semangat kejiranan dan cintakan kampung halaman, jelas salah seorang ahli dari Komuniti Sukarelawan Mengkubau.

Antara ahli Komuniti Sukarelawan Mengkubau semasa mengadakan aktiviti bergotong-royong mencantas ranting pokok baru-baru ini.