PARIS, 24 NOV – Formula Satu (F1) berkata Grand Prix (GP) China akan kekal di dalam kalendar musim depan buat masa ini selepas pandemik COVID-19 membatalkan tiga edisi terakhir perlumbaan malam di Shanghai.
“Kami akan terus memantau situasi COVID di China dan kekalkan dialog rapat dengan pihak penganjur dan pihak berkuasa,” kata jurucakap F1 kepada AFP pada Rabu.
“China akan kekal berada dalam kalendar 2023 sehinggalah kami memaklumkan sebaliknya,” tambah jurucakap itu.
Satu laporan di BBC pada Selasa mencadangkan perlumbaan berkenaan, yang dijadualkan berlangsung pada 16 April depan, supaya dibatalkan lagi disebabkan oleh pendekatan COVID yang ketat oleh China.
“Dasar Sifar COVID China telah mendorong F1 untuk memutuskan bahawa perlumbaan di Shanghai tidak dapat diteruskan. Perkara utama ialah para pekerja F1 tidak akan diberikan pengecualian daripada kuarantin jika terkena jangkitan virus COVID-19,” ujar BBC.
Jika seperti yang dikatakan F1 adalah benar, maka GP China, yang kali terakhir diadakan pada 2019, akan menjadi perlumbaan keempat daripada 24 perlumbaan pada musim 2023. – AFP