Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    GP Qatar: Bagnaia kukuh tempat kedua

    LUSAIL, 20 NOV – Francesco Bagnaia boleh menghela nafas lega selepas menduduki tempat kedua di Grand Prix (GP) Qatar tatkala satu-satunya pesaing terdekat, Jorge Martin hanya berpuas hati di kedudukan ke-10 akibat mengalami masalah tayar.

    Fabio Di Giannantonio, yang tidak mempunyai pasukan musim depan meraih kemenangan pertamanya dan, dia berkata, ia ‘bagai membalas dendam’ kepada semua orang yang meragui kemampuannya.

    Tempat ketiga menjadi milik Luca Marini dari pasukan VR46 Ducati.

    Juara bertahan, Bagnaia mendahului Martin dengan 21 mata dengan baki satu lagi perlumbaan hujung minggu ini di Valencia di mana jarak maksimum untuk pelumba yang memenangi kedua-dua saingan pecut dan perlumbaan utama ialah 37 mata.

    Martin memintas Bagnaia dengan kelebihan tujuh mata selepas memenangi perlumbaan pecut sehari sebelumnya.

    Bagaimanapun, dalam perlumbaan utama, pemandu Sepanyol yang mewakili Ducati Pramac itu tergelincir ke tempat kesembilan selepas permulaan yang buruk menduduki tempat ke-10.

    “Saya mengalami tayar belakang yang sangat teruk,” kata penunggang dari Sepanyol itu.

    “Awda boleh melihat pada permulaan. Saya rasa kesal bahawa kejuaraan ditentukan oleh tayar yang buruk,” kata Martin.

    “Kami berada di MotoGP dan ini tidak boleh diterima. Saya mempunyai potensi untuk memenangi perlumbaan. Saya rasa mereka mengalahkan saya di luar trek bukan di trek,” tambahnya. – AFP

    Aksi Bagnaia semasa perlumbaan Moto GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, di bandar Lusail, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda