GP Sakhir: Russell ganti Hamilton

SAKHIR, BAHRAIN, 2 DIS – George Russell akan mengganti juara dunia Lewis Hamilton, yang diuji positif COVID-19, pada perlumbaan Grand Prix Sakhir Formula Satu di Bahrain, umum Mercedes hari ini.

Pemandu simpanan Williams Jack Aitken akan mengganti Russel dalam pasukan Williams pada hujung minggu ini, menyertai pemandu tetap Nicholas Latifi.

“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Williams kerana memberikan saya peluang ini,” kata Russell.

“Saya mungkin memakai sut perlumbaan yang berlainan pada hujung minggu ini tetapi saya ialah pemandu Williams dan saya akan menyokong se-penuhnya pasukan saya.”

Russell menjadi pemandu Britain ketiga yang mewakili Mercedes dalam Formula Satu selepas Stirling Moss dan Lewis Hamilton.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Mercedes kerana meletakkan kepercayaan mereka dalam saya,” tambah Russell.

“Jelasnya, tidak ada sesiapa yang boleh mengganti Lewis, tetapi saya akan memberikan segala-galanya untuk pasukan tanpa kehadirannya mulai saat saya memasuki kereta.

“Paling penting, saya mendoakan beliau cepat sembuh. Saya tidak sabar-sabar untuk memasuki litar pada minggu ini.” Russel telah menjadi anggota program junior Mercedes-Benz sejak 2017 apabila dia memenangi kejohanan GP3 Series sebagai pemandu rookie, sebelum mengulang kejayaan itu dalam Formula 2 pada 2018.

Dia kini berpeluang memandu kereta yang memenangi kejohanan dunia Formula Satu bersama Valtteri Bottas untuk perlumbaan kedua terakhir musim ini. – AFP

Gambar fail menunjukkan George Russell menghadiri sidang media di Litar de Catalunya di Montmelo berhampiran Barcelona. Russell akan mengganti Lewis Hamilton yang diuji positif COVID-19 di Grand Prix Sakhir di Bahrain. – AFP