GPS menang bolot 76 kerusi

KUCHING, 19 DIS – Keputusan terakhir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menyaksikan penguasaan mutlak Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 apabila gabungan politik itu membolot 76 daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon GPS Datuk Gerawat Gala diumum sebagai pemenang DUN Mulu dengan majoriti 2,875 undi. Beliau yang memperoleh 3,731 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Profesor Dr Son Radu yang mendapat 856 undi, Roland Engan daripada PKR (810 undi) dan Richard Ibuh yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) (199).

Malam tadi, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pengumuman keputusan bagi DUN Mulu ditangguhkan ekoran faktor keselamatan kerana petugas pilihan raya yang menaiki helikopter untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi berdepan cuaca buruk selain terputus perhubungan jalan darat. Kemenangan di 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertanding pada PRN12 sekali gus memperbaiki pencapaian GPS sewaktu bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRN ke-11 pada 2016 iaitu 72 kerusi. – Bernama