Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Graduan berkongsi cabaran semasa pandemik

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Impian untuk menggenggam segulung ijazah dan diploma merupakan satu impian bagi setiap graduan setelah penat lelah, memerah otak, bersengkang mata selama beberapa tahun, pastinya menginginkan kegembiraan di penghujungnya.

    Beberapa graduan yang ditemui pada Majlis Haflut Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-11 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, telah berkongsi serba sedikit cabaran yang mereka lalui sepanjang menimba ilmu di UNISSA terutama dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara.

    Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Usuluddin (Dakwah) berkata, sepanjang pengajian di UNISSA terutama dalam bidang
    yang diambil, ia telah memberi banyak pengalaman menarik.

    Selain mengikuti pengajian di kampus, beliau juga menyertai beberapa seminar dan pembentangan kertas kerja anjuran UNISSA dan di luar negara.

    “Semasa tempoh pengajian dalam pandemik, banyak cabaran yang lalui terutama dalam proses pembetulan tesis yang mengehendaki untuk hadir secara bersemuka selain sukar untuk mencari sumber rujukan di perpustakaan kerana kebanyakan perpustakaan pada ketika itu ditutup sementara,” ujarnya.

    Awang Muhammad Jalalluddin yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Usuluddin (Dakwah).
    Dayang Nur Hazimah merupakan salah seorang penerima AQIF.
    Dayang Bani Nurun Naqiah berkongsi pengalaman mengambil jurusan Diploma Perundangan Islam dan Guaman Syarie selama setahun.
    Hajah Nurbaizurah, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam.

    Beliau seterusnya merancang untuk lebih bersemangat dan berterusan dalam menimba ilmu, diamalkan dan disampaikan, tidak hanya setakat sini saja.

    “Ilmu yang diperolehi semasa pengajian akan dapat dikongsikan seterusnya akan dapat berbakti dan menerapkan dalam pekerjaan pada masa ini,” katanya lagi.

    Seorang lagi graduan, Dayang Bani Nurun Naqiah binti Asbinin berkongsi pengalaman mengambil jurusan Diploma Perundangan Islam dan Guaman Syarie selama setahun.

    Menurutnya, program yang ditawarkan di bawah Fakulti Syariah dan Undang-undang itu bertujuan untuk melahirkan graduan-graduan berilmu dan berkemahiran dalam bidang kehakiman dan guaman syarie serta mampu mengaplikasikan ke dalam kehidupan.

    “Pemilihan program atas sebab minat dalam bidang kehakiman sejak negara memperkenalkan serta melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah pada 2013.

    “Bermula dari sanalah, timbul keinginan saya untuk menceburi bidang ini selain itu, program ini juga adalah sebagai salah satu platform bagi saya serta rakan-rakan untuk terus berjaya,” ujarnya.

    Menurutnya, pada peringkat awal beliau menghadapi cabaran untuk memahami maksud daripada setiap peruntukkan dan bagaimana mengaplikasikannya secara praktikal.

    “Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, dengan rasa syukur dan selama setahun pengajian, hasilnya saya dapat lebih memahami maksud cara mengaplikasikannya,” jelasnya.

    Beliau juga melahirkan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dan akan berkecimpung dalam kerjaya sesuai dengan bidang yang diambil.

    Media Permata turut menemu bual Dayang Nur Hazimah binti Yahaya, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kewangan Islam, yang juga merupakan salah seorang penerima Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) yang dianugerahkan oleh Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).

    Menurutnya, beliau memilih bidang berkenaan kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap subjek Mathematics dan Accounting serta ingin menerokai ilmu dalam kewangan Islam.

    Beliau turut mengongsikan pengalaman pengajian semasa pandemik COVID-19 pada 2020 yang mana pada ketika itu, beliau mengikuti Study Abroad Programme (SAP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    “Kami telah diarahkan untuk pulang ke tanah air dan dikuarantin di salah sebuah hotel dan meneruskan pembelajaran di UNISSA secara dalam talian dan dengan pertolongan dan keprihatinan serta dedikasi para pensyarah dan rakan seperjuangan, saya dapat menamatkan semester tersebut dengan jayanya,” jelasnya.

    Katanya lagi, semasa pembelajaran dalam talian, beliau harus membahagikan masa dengan lebih teratur dan keep on track dengan tugasan-tugasan yang diberikan.

    Beliau kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dengan mengambil kursus yang sama iaitu Kewangan Islam di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Hajah Nurbaizurah binti Haji Suhamin, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam, pula menjelaskan bahawa pemilihan program berkenaan adalah disebabkan ia mampu melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dalam bidang kewangan yang disemai dengan nilai dan etika Islam.

    Beliau turut mengongsikan cabaran semasa tempoh pengajian, yang mana beliau tidak mempunyai asas dan tidak pernah belajar dalam subjek perakaunan dan ekonomi di peringkat menengah dan tingkatan enam.

    Pada peringkat awal, sukar bagi beliau dan mengambil masa yang lama untuk memahami modul berkaitan dengan asas itu.

    Mengulas pengajian semasa pandemik, beliau berkata, disebabkan banyak ketinggalan topik bagi setiap modul, mereka bergelut untuk menyiapkan tugasan pada waktu yang ditetapkan.

    Walaupun demikian, dengan adanya pertolongan daripada rakan yang lain dan pensyarah yang faham dengan keadaan, mereka dapat menyiapkannya pada masa yang telah di tetapkan.

    Untuk perancangan seterusnya, beliau berhasrat untuk menyertai program kemahiran bagi menambah kemahiran, kerana pasaran pekerjaan sekarang semakin mementingkan kemahiran yang ada pada seseorang.

    “Di samping mencari pekerjaan yang boleh menambah pengalaman saya untuk mendapatkan pekerjaan tetap,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...