Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan bukti mampu berjaya tanpa ‘makan gaji’

    BIDOR – Di sebalik lambakan graduan lepasan universiti yang sukar mendapat pekerjaan, wujud graduan yang berfikir di luar kotak dan mencari jalan untuk memperoleh ‘rezeki sendiri’ tanpa mengharap pekerjaan setanding kelulusan.

    Enggan bergantung harap pada gaji bulanan, ada antara mereka mula mengambil langkah untuk bekerja sendiri melalui bidang perniagaan yang juga mampu memberi pendapatan setimpal.

    Bagi graduan jurusan Sains Sosial (Geografi) dari Universiti Malaysia Sabah, Noorhidayah Halim, beliau memilih untuk menjalankan perniagaannya sendiri iaitu menjual kuih tradisional kaum India, masalode dan vadai, di pekan Bidor.

    Noorhidayah, 26, berkata keputusan yang diambil beliau untuk bekerja sendiri adalah disebabkan beberapa kali gagal mendapatkan pekerjaan dalam jurusan yang dimilikinya.

    “Kebetulan ibu saya berniaga secara kecil-kecilan menjual makanan ringan dari rumah…jadi saya terfikir mungkin saya boleh bantu besarkan perniagaan ibu dan cuba berniaga dengan membuka payung di bahu jalan utama berhampiran stesen bas Bidor,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat beliau berniaga.

    Enggan bergantung harap pada gaji bulanan, ada antara mereka mula mengambil langkah untuk bekerja sendiri melalui bidang perniagaan yang juga mampu memberi pendapatan setimpal.

    Noorhidayah berkata dia dan ibunya Noraini Vanathevi Abdullah, 50, memulakan perniagaannya pada 12 tengah hari dengan menggoreng kuih yang diperbuat daripada kacang dal itu dan terus menjualnya kepada orang ramai.

    “Pelanggan saya ada Melayu, Cina, India dan Sikh daripada segenap lapisan umur. Saya gembira dapat melihat perpaduan sedikit sebanyak melalui juadah saya,” katanya.

    “Alhamdulillah…selepas hampir setahun, usaha saya berniaga tidak sia-sia, pendapatan bulanan saya  purata lebih kurang sama dengan gaji mana-mana graduan yang bekerja makan gaji dan paling menyeronokkan saya hanya perlu bekerja empat ke lima jam sehari,” katanya.

    Cabaran

    Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, pada awalnya dia rasa agak tertekan apabila ramai yang tidak menyokong keputusannya untuk berniaga sedangkan dia mempunyai ijazah.

    Namun, selepas melihat daripada keuntungan yang diperoleh, dia yakin keputusan yang dibuat  adalah tepat.

    Noorhidayah berkata dia bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka  ‘payung’ yang sama di pekan-pekan berhampiran dan bercita-cita untuk membuka kedai sendiri suatu hari nanti.

    Berbekalkan ilmu yang diperolehnya di menara gading, dia juga mengajar tuisyen pada sebelah malam dan hujung minggu untuk menambah pendapatannya.

    “Selain itu, saya juga ada menyanyi di majlis-majlis keramaian sekiranya ada jemputan bagi menambah lagi pendapatan,” katanya.

    Graduan jurusan Komunikasi (Komunikasi Korporat) dari Universiti Selangor (UNISEL), Mohammad  Haikal Hamzah, 24, pula berkata dia memilih bidang perniagaan bagi membuktikan kepada kedua ibu bapanya bahawa untuk berjaya, seseorang itu tidak semestinya bekerja mengikut kelulusan.

    “Kalau diikutkan setiap keluarga menginginkan anak mereka yang memiliki ijazah mempunyai gaji tetap, jadi pegawai dan berada dalam ‘zon selamat’. Bukan saya tidak mencuba cari pekerjaan mengikut kelulusan, cuma tidak ada rezeki.

    “Tetapi, itu tidak bermakna saya boleh berdiam diri kerana ada banyak lagi bidang lain yang boleh diterokai,” katanya yang menjalankan perniagaan mereka grafik, pencetakan dan fasilitator program motivasi.

    Mohammad Haikal yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dari kediamannya di Shah Alam, Selangor ketika ditemui berkata dia kini bersyukur kerana perniagaannya bukan sahaja memberi pulangan setimpal malah dapat membantu meringankan beban keluarganya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda