Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 91 orang graduan cilik Sekolah Sunshine terdiri daripada 52 orang murid Kindergarten (KG) dan 39 orang murid Tahun 6 telah merakamkan detik kejayaan masing-masing pada Majlis Graduasi ke-38 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik yang berlangsung di Dewan Damai, Hotel Aman Hills, baru-baru ini.
Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Sekolah Sunshine, Chan Fui Meng dan Pengarah Sekolah Sunshine, Awang Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.
Guru Besar Sekolah Sunshine, Tan Lay Kim dalam ucapannya telah menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada ahli-ahli lembaga pengarah, ibu bapa atau penjaga serta guru-guru atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan secara berterusan bersama komuniti sekolah dalam meniti perjalanan pembelajaran terbaik untuk murid-murid selama ini.
“Kami percaya bahawa kanak-kanak bukan sahaja perlu mencapai kecemerlangan dari segi akademik tetapi juga menyedari kepentingan perkembangan sosial, fizikal, emosi dan rohani mereka. Kami membina watak mereka selaras dengan nilai Melayu Islam Beraja di samping terus membangunkan keyakinan dan kemahiran sosial mereka. Begitu juga dengan memupuk bakat mereka melalui aktiviti-akitiviti sekolah dan kurikulum tambahan yang lain,” tekannya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada aktiviti kurikulum tambahan sekolah termasuk Kelab Brownies, Pengakap, Kelab Buku dan Kelab Infinity.
