Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan serba kompeten

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 18 Jan – Loji Mini Unit Hands-on Operational Training Skids (H.O.T.S) yang baru dirasmikan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah, di sini, merevolusikan cara latihan dilaksanakan yang menyediakan persekitaran pembelajaran autentik untuk latihan dan penilaian operasi loji seperti yang dilakukan dalam industri minyak dan gas.

    Di samping para pelajar bukan hanya memperolehi pengetahuan teori tetapi juga yang paling penting, mendapatkan latihan penuh yang disesuaikan dengan kompetensi yang diperlukan oleh industri.

    Setiausaha Tetap (Tenaga dan SHENA) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Kamaludin bin Haji Bungsu menekankan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian loji mini berkenaan, hari ini.

    Projek tersebut merupakan projek kerjasama antara IBTE, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO) dengan syarikat-syarikat perkhidmatan dan operasi di industri minyak dan gas.

    Terdahulu itu, beliau menjelaskan bahawa projek loji mini tersebut telah bermula pada Jun 2015 di bawah Rangka Kerja Kompetensi Industri Tenaga (EICF), yang mana EICF mula dilancarkan pada bulan Julai 2013 dengan tujuan untuk membantu mengurangkan atau bahkan menghapuskan ketidakpadanan kemahiran dan bakat dengan penjajaran kursus mengikut keperluan industri.

    Sesi bergambar ramai tetamu kehormat dan wakil syarikat-syarikat yang terlibat dalam Projek Loji Mini IBTE.
    Semasa tinjauan ke bilik kawalan Loji Mini IBTE oleh tetamu kehormat dan wakil-wakil syarikat penaja projek.

    Menurutnya, rasional penubuhan loji mini itu adalah untuk menjadikan pelajar lebih kompeten dan employable bagi majikan dalam industri tenaga, di samping itu, ia juga selaras dengan Wawasan Negara 2035 antaranya untuk melihat Negara Brunei Darussalam diiktiraf bagi pencapaian generasi berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta ekonominya yang dinamik dan mapan.

    “Projek loji mini ini terdiri daripada dua bahagian penting, latihan skids dan penyediaan tapak yang masing-masing diketuai oleh Brunei LNG Sdn Bhd dan Pasukan IBTE.”

    Dengan kos kira-kira $2.1 juta, projek berkenaan juga menyaksikan sumbangan-sumbangan daripada tujuh buah syarikat pengendali utama, 20 buah syarikat perkhidmatan minyak dan gas dan lima firma perunding tempatan, bukan itu saja, graduan ICF yang telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat perkhidmatan, menerusi Tawaran Kerja Bersyarat (COE) semasa mereka masih dalam latihan, juga terlibat semasa penyediaan tapak, katanya lagi.

    Beliau turut menyatakan bahawa EICF, Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) dan Unit Perancangan dan Dasar Tenaga Manusia (MPPU) semuanya di bawah peranan EIDPMO, merupakan tiga agensi kerajaan yang bekerjasama dalam usaha memenuhi keperluan kerja dalam industri di negara ini, untuk mengurangkan kadar pengangguran.

    “Walau bagaimanapun, tanpa sokongan dan kerjasama yang kuat daripada sektor/industri swasta, sebarang inisiatif yang dilakukan akan memberi impak yang kurang daripada apa yang dihasratkan, oleh itu kami berharap akan mendapat kerjasama lebih lanjut mengenai projek-projek yang sama, kerana sokongan tersebut adalah penting untuk kemapanan dan keupayaan tenaga kerja tempatan kita,” tambah beliau.

    Menurut kenyataan yang diberikan, projek berkenaan telah mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan dan ia dibahagikan kepada dua, Skid Standard dan Skid Distillation yang terdiri daripada peralatan seperti paip, tangki, injap, pam, penukar haba, lajur, dandang dan pelbagai instrumen lengkap dengan sistem PLC dan DCS.

    Kedua-dua skid berkenaan dibiayai oleh tujuh buah syarikat pengendali iaitu Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Brunei National Petroleum Sdn Bhd, TOTAL, Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd, Hengyi Industries Sdn Bhd, dan Mitsubishi Corporation.

    Skid berkenaan direka oleh Shanghai Morimatsu Group Company, China, manakala itu, tapak dan pelaksanaannya telah disumbangkan oleh 25 buah syarikat perkhidmatan tempatan dengan EcoBumi Arkitek sebagai arkitek projek, Jurutera Perunding Primareka sebagai perunding sivil dan struktur serta KR Kamarulzaman & Associates sebagai perundingan mekanikal dan elektrik.

    Pengalaman pembelajaran autentik dengan menyediakan loji mini tersebut akan membolehkan para pelajar mempunyai persekitaran kerja yang sebenar dan mereka akan dapat secara aktif membuat penilaian, mengadakan perbincangan, berbahas dan menggunakan peralatan yang memberikan kemampuan teknologi terkini.

    Di IBTE, penglibatan pelajar dengan dunia nyata adalah teras misi institut tersebut untuk melahirkan graduan yang sedia untuk bekerja, dengan melengkapkan mereka kefahaman dan kemahiran yang kompeten.

    Majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja projek loji mini tersebut yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, sejurus sebelum pelancaran rasmi loji mini IBTE diteruskan kemudiannya dengan lawatan ke bilik kawalan loji mini dan sesi bergambar ramai.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan dan EIDPMO, ketua pegawai eksekutif IBTE, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan EIDPMO serta perwakilan syarikat-syarikat perkhidmatan dan operasi dalam industri minyak dan gas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda