Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Graduan TVET jadi rebutan

    KUALA LUMPUR – Graduan berkemahiran daripada aliran vokasional dan teknikal kini semakin dicari-cari oleh pihak majikan dan industri berkaitan.

    “Saya dapat tawaran kerja dari beberapa pihak industri walaupun belum konvo. Mereka sangat berminat dengan kemahiran praktikal yang saya pelajari di Tech Terrain College (TTC),” kata Muhammad Izzat Syazwan, 21.

    “Kini saya bekerja sebagai seorang jurutera di Pulau Pinang. Alhamdulillah gaji yang ditawarkan membolehkan saya menjaga keluarga saya,” tambahnya dengan gembira.

    Menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Precis di TTC, Muhammad Izzat terpilih sebagai pelajar terbaik Fakulti Kejuruteraan daripada lebih 160 graduan Diploma Kemahiran Malaysia yang diraikan dalam Majlis Graduasi ke-11 TTC, baru-baru ini.

    Muhammad Izzat mengakui bahawa semasa di sekolah, beliau lebih menggemari mata pelajaran yang boleh dipelajari secara ‘hands-on.’

    Apa yang menarik minatnya untuk menyambung pengajian di TTC ialah kaedah pembelajaran berkonsepkan praktikal. TTC bekerjasama dengan lebih daripada 250 rakan industri untuk memastikan apa yang dipelajari di kolej adalah selari dengan keperluan industri.

    “Saya berasa amat bersyukur kerana mendapat pekerjaan dengan cepat, dan apa yang saya belajar di TTC boleh diaplikasikan di tempat kerja saya,” kata Muhammad Izzat.

    Bapa kepada Muhammad Izzat, Muhammad Nazri meluahkan perasaan bangganya pada Majlis Graduasi.

    Katanya, “Anak saya bukan sahaja mendapat peluang kerjaya dalam bidang permintaan tinggi, namun saya tidak pernah bermimpi bahawa dia akan menerima Anugerah Pelajar Terbaik di TTC.

    “Keluarga kami sangat bersyukur kepada pihak Kerajaan dan kolej,” tambahnya.

    TTC merupakan Kolej Bertauliah Kerajaan 5 Bintang menjalankan program Diploma TVET dan MQA dalam bidang logistik, kejuruteraan precis dan retail management dan pengurusan pejabat. Ia juga menawarkan kemudahan pendidikan. – Bernama

    Muhammad Izzat Syazwan, Pelajar Terbaik, Fakulti Kejuruteraan daripada lebih 160 graduan Diploma Kemahiran Malaysia yang diraikan dalam Majlis Graduasi ke-11 TTC.  – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...