Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan UNISSA kongsi kegembiraan

    Oleh Siti Nur Wasimah S. & Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Para belia diseru agar sentiasa mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri walaupun terpaksa berdepan pelbagai rintangan dan kegagalan dalam hidup serta tetap meneruskan perjuangan dalam mencapai kejayaan yang diingini pada masa hadapan dalam memberikan sumbangan kepada negara.

    Kata-kata semangat itu telah ditekankan oleh Dayang Sabrina binti Haji Mahmud, 24, salah seorang graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang telah berjaya menamatkan pengajiannya di Majlis Hafl Al-Takharruj ke-7 UNISSA, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Hadiah Buku Universiti dalam jurusan Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) dan Sarjana Muda Perundangan Syariah (BSL), berkata, untuk mencapai kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan pembahagian masa yang mencukupi.

    Tambahan lagi katanya, jurusan yang beliau ambil itu sangat bermanfaat sekali untuk memahami lebih mendalam tentang bidang undang-undang dari dua perspektif, iaitu syariah dan sivil, lebih-lebih lagi dengan adanya dua sistem keadilan di negara ini.

    Dalam mencapai kejayaan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei dan Peguambela dan Peguamcara Rozaiman Abdul Rahman atas segala ilmu pengetahuan dan pendedahan yang diberikan.

    Dayang Sabrina (dua, kiri) bergambar ramai bersama rakannya selepas menerima ijazah di Majlis Hafl Al-Takharruj ke-7 UNISSA, di ICC, pagi kelmarin.
    Awangku Muhammad Khairuddin berkata perlunya keberanian dan keyakinan diri dalam menempuh setiap cabaran hidup.

    “Alhamdulillah dan menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberikan peluang pendidikan yang terbaik di negara ini dan juga kepada kedua-dua ibu bapa dan keluarga, serta rakan-rakan dan para pensyarah serta warga UNISSA yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat,” jelas Dayang Sabrina.

    Sementara itu, Awangku Muhammad Khairuddin bin Pengiran Mohd Yussof, 23, yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Syariah Fiqh dan Kehakiman semasa ditemui menyatakan jurusannya memang amat mencabar yang mana ia memerlukan tumpuan yang penuh serta keberanian dan keyakinan diri yang tinggi.

    Beliau menekankan ia begitu penting untuk sentiasa memperbanyakkan bacaan dan mencari bahan rujukan seperti kes-kes yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, buku-buku Islam terutama yang berkaitan dengan syariah dan merujuk kepada pensyarah-pensyarah.

    “Bahasa pengantar bagi jurusan saya adalah Bahasa Arab yang mana ia memerlukan saya untuk mahir dan menguasai bahasa tersebut kerana jika gagal menguasai bahasa tersebut ia akan menyulitkan saya dalam memahami dan mendalami mata pelajaran yang kami pelajari kerana majoriti bahasa pengantarnya adalah Bahasa Arab,” jelasnya lagi.

    Beliau juga sering kali membiasakan dirinya bercakap, membaca serta menulis dalam Bahasa Arab di samping mengekalkan dan meningkatkan prestasi khususnya dalam setiap peperiksaan semester.

    Menurut Awangku Muhammad Khairuddin lagi, jurusan itu diharap akan dapat membantu negara daripada segi perlaksanaan Perintah Hukuman Jenayah Syariah di mana negara sangat memerlukan jurusan dalam bidang yang beliau ambil pada masa ini sebagai pemangkin dan penguat dalam melaksanakan dan menjayakan perintah itu.

    Di samping itu, ia juga turut membantu masyarakat dalam memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran khususnya undang-undang dan syariah bagi membantu masyarakat memahami perkara tersebut.

    “Pada masa ini, saya telah mengikuti Program Perantisan i-Ready selama tiga tahun dalam bidang guaman syariah bagi menambah ilmu serta pengalaman dalam bidang pekerjaan. Insya-Allah jika ada peluang saya ingin meningkatkan pengajian saya lagi ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

    Beliau turut memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya jua beliau mampu menamatkan kursus sarjana muda tersebut, serta kepada ibu bapa, adik-beradik serta keluarganya yang sentiasa menyokong dan memberikan semangat kepada beliau.

    Pengiran Azirul Ridzuan melahirkan perasaan gembira kerana berjaya menamatkan pengajiannya walaupun dalam usia yang sudah meningkat.
    Awang Abdul Mu’iz antara mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab.

    Manakala itu, Pengiran Azirul Ridzuan bin Pengiran Haji Abdul Razak, 39, daripada Jurusan Sijil Sistem Keadilan Jenayah Syariah juga turut melahirkan perasaan gembira kerana beliau berjaya menamatkan pengajiannya walaupun dalam usia yang sudah meningkat.

    “Menjunjung setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia khususnya UNISSA atas pendidikan yang telah diberikan, tidak lupa kepada semua pensyarah yang telah memberikan ilmu pengetahuan yang amat berguna yang dapat diaplikasikan bukan sahaja dalam menjalani tugas seharian malah dikongsikan bersama rakan yang lain,” kata Pengiran Azirul Ridzuan.

    Beliau yang merupakan seorang pelajar latihan dalam perkhidmatan, menyatakan meskipun pengajiannya amat mencabar tetapi Alhamdulillah atas sokongan daripada isteri serta keluarga dan juga rakan-rakan seperjuangan banyak membantu dalam menjalani pendidikan tersebut.

    Menurutnya, jurusan yang diambilnya memberikan pengetahuan serta pendedahan undang-undang syariah secara menyeluruh kepada pelajar-pelajarnya yang majoritinya dalam kalangan penguat kuasa undang-undang di negara ini.

    “Oleh itu, jurusan ini bukan sahaja sebagai pengetahuan akademik atau teori kepada kami, tetapi ilmu ini pastinya menjadi panduan dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang di negara ini khususnya undang-undang syariah bertepatan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam bagi menjamin kemaslahatan masyarakat dan negara ini di dunia dan di akhirat,” tegas beliau lagi.

    Pengiran Azirul Ridzuan juga merancang untuk melanjutkan lagi pengajian beliau ke peringkat Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND).

    Sementara itu, Awang Abdul Mu’iz bin Haji Kadir, 24, mengambil jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab menjelaskan bahawa jurusan yang diambilnya juga sangat penting terutama dalam merealisasikan hasrat Baginda Sultan iaitu menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah ‘Negara Zikir’.

    “Dalam jurusan ini kita dapat mempelajari dan mendalami Bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran dan dapat menghayatinya dengan lebih mendalam. Jurusan ini juga akan dapat membantu masyarakat dalam memahami bacaan seperti bacaan dalam sembahyang supaya kita lebih khusyuk dalam beribadah,” jelas Awang Abdul Mu’iz.

    Beliau juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UNISSA yang banyak membantu beliau terutama kepada Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Dekan Fakulti Bahasa Arab iaitu Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad, ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu beliau.

    Beliau juga merancang untuk mencari peluang pekerjaan dalam sektor swasta mahupun kerajaan yang bersangkut paut dengan jurusan yang telah dipelajari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda