Grand Motors perkenalkan Mazda CX-3 dan MX-5 RF

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Syarikat Grand Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal jenama KIA dan Mazda di Brunei, hari ini memperkenalkan dua model terkini Mazda iaitu Mazda CX-3 dan Mazda MX-5 RF (Retractable Fastback) di Bilik Pameran Mazda, Perindustrian Beribi, di sini.

Mazda CX-3 ini dijanakan oleh enjin SkyActiv-G 2.0 liter petrol dengan 150 kuasa kuda dan puncak tork 204 Nm yang disalurkan pada roda hadapan dan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Mazda CX-3 ini membawakan imej rekaan Kodo, ciptaan Mazda sendiri yang turut dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan kawalan lampu tinggi dan lampu LED Daylight serta roda bersaiz 18 inci.

Pada bahagian kabinnya pula dilengkapi dengan kemasan kulit berwarna hitam dengan kombinasi fabrik serta unit multimedia MZD Connect berserta skrin paparan bersaiz tujuh inci.

Selain itu, Mazda CX-3 baru ini juga turut menampilkan ciri-ciri seperti sunroof, pedal penukar gear pada stereng, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan Heads Up Display (HUD). Bagi aspek keselamatan, CX-3 ini turut dilengkapi dengan enam beg udara, berserta beberapa ciri standard termasuk Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek dan bantuan mula mendaki.

Mazda CX-3 yang dikuasakan dengan enjin SkyActiv-G 2.0 liter.
Mazda CX-3 yang dikuasakan dengan enjin SkyActiv-G 2.0 liter.
Penampilan Mazda MX-5 RF yang kelihatan lebih anggun dan sportif.
Penampilan Mazda MX-5 RF yang kelihatan lebih anggun dan sportif.

Sementara itu, Grand Motors juga memperkenalkan Mazda MX-5 RF yang mana ia menawarkan enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter.

Mazda MX-5 RF edisi 2017 ini baharu sahaja memulakan produksi di Ujina, Hiroshima, Jepun, pada Oktober lalu dan kini telah memasuki pasaran tempatan di Negara Brunei Darussalam.

Kereta sport dengan dua tempat duduk ini mempunyai reka bentuk fastback yang unik dan menawarkan rasa pemanduan dengan bumbung terbuka yang menyeronokkan. Rekaan Maxda MX-5 RF ini merupakan rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari Cabriolet atau Convertible biasa. Jika bumbung kereta ini ditutup, bentuk keseluruhannya hampir kepada bentuk Fastback seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama dan tidak seperti Roadster Hardtop lain.

Bumbung kereta ini menampilkan panel sisi yang berbentuk curam sehingga ke bahagian belakang. Jika dilihat dari sisi kereta berkenaan, garisan bahagian bumbung yang bermula dari depan hingga ke bahagian panel sisi belakang bergabung dengan garisan badan yang beralun bermula daripada bahagian muncung hingga ke but belakang yang menghasilkan bentuk badan yang begitu unik.

Apabila bumbung MX-5 RF ini dilipat, panel sisi belakang masih kekal di tempatnya dan jika dilihat lagi dari profil sisi, ia kini kelihatan lebih mirip kepada sebuah Targa Top berbanding sebuah Roadster. Walaupun mekanisma antara varian RF dan Soft-Top standard agak berbeza, namun ruang but belakang kekal seperti biasa.

Syarikat Grand Motor juga menyatakan bahawa tiada perubahan dari segi sistem dan mekanikal Mazda MX-5 RF kerana ia masih dikuasakan dengan enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter yang dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam kelajuan automatik atau enam kelajuan manual.