Grand Prix Australia diteruskan

SYDNEY, 5 MAC – Grand Prix Australia akan diteruskan di Melbourne minggu depan selepas kerajaan pada Khamis menyatakan, mereka tidak akan melaksanakan larangan ketibaan dari Itali, lapor agensi berita Xinhua.

Dengan sejumlah besar anggota pasukan datang dari Itali, termasuk Ferrari, wujud kebimbangan acara berkenaan mungkin dibatalkan andai anggota utama pasukan tidak dapat hadir disebabkan larangan perjalanan akibat wabak COVID-19.

Kerajaan Australia pada Khamis mengesahkan akan memperkenalkan kaedah pemeriksaan lebih ketat untuk mereka yang tiba dari Itali.

“Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan ke atas mereka yang tiba dari Itali termasuk warga Australia yang tiba dari negara itu,” kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Bagaimanapun, kerajaan mengenakan larangan perjalanan untuk Korea Selatan yang menurut Morrison, mencatat kadar lima kali ganda jumlah ketibaan di Australia berbanding Itali.

Ketua Grand Prix Australia, Andrew Westacott memberitahu 3AW pada Khamis, tiada larangan perjalanan untuk Itali dan sehingga kini semua persiapan bagi acara berkenaan diteruskan.

“Mereka tidak mengambil kira peristiwa dan perkara lain, mereka mengambil kira apa yang terbaik untuk negara dan hasilnya amat baik,” katanya.

Pengarah Urusan Formula One, Ross Brawn sebelum ini memberitahu Reuters jika ada mana-mana pasukan tidak dibenarkan masuk akibat COVID-19, pelumbaan tidak dapat dijalankan.

“Kita tidak dapat berlumba meskipun hanya satu pasukan dihalang. Ia tidak lagi menjadi satu perlumbaan Formula One,” kata Brawn.

Menurut Westacott litar di Melbourne kini dalam proses persiapan terakhir dan sedia untuk memulakan cabaran pada musim ini. – Bernama

Seorang penungang motosikal memakai topeng muka melewati depan pameran kereta Formula Satu di luar kedai barangan Grand Prix Formula Satu Vietnam di Hanoi. – AFP