Grand Slam pertama buat Thiem

NEW YORK, 14 SEPT – Dominic Thiem kembali bangkit untuk menewaskan Alexander Zverev dalam lima set yang mendebarkan dan memenangi Terbuka AS kelmarin untuk memenangi Grand Slam kali pertama.

Pemain pilihan kedua dari Austria menewaskan pemain pilihan kelima 2-6, 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (8/6) dalam perlawanan yang berlangsung selama 4 jam 2 minit di stadium Arthur Ashe yang hampir kosong.

Ini menandakan kali pertama dalam era sejarah Terbuka AS di mana pemain bangkit selepas tewas dalam dua set pembukaan untuk memenangi kejohanan.

Dan ia adalah kali pertama final ditentukan menerusi pusingan penentuan.

“Saya berharap kita berdua boleh menjadi juara hari ini. Saya rasa kami berdua memang layak,” kata Thiem.

Reaksi Dominic Thiem semasa meraikan kemenangan Terbuka AS dan memenangi Grand Slam kali pertama. – AP

Ini merupakan kejuaraan sulung pemain berusia 27 untuk menjulang trofi Grand Slam selepas tewas tiga kali dalam final terdahulu.

Thiem merupakan naib juara Terbuka Australia awal tahun ini dan tewas dalam dua perlawanan terakhir di Terbuka Perancis pada 2018 dan 2019.

Dia turut menjadi juara baharu pertama Grand Slam sejak pemain dari Croatia, Marin Cilic memenangi kejohanan di Flushing Meadows pada 2014.

Thiem turut menjadi juara Grand Slam selain Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Roger Federer sejak pemain Switzerland, Stan Wawrinka memenangi tiga kejuaraan utama di Terbuka AS pada 2016.

“Saya menetapkan matlamat hidup, impian saya, yang saya kejar selama beberapa tahun,” kata Thiem.

Zverev, 23, beraksi cemerlang pada set pertama dengan pukulan servis dan voli yang mengagumkan untuk mendahului 1-0 dalam masa 30 minit.

Dalam set kedua, Zverez mensia-siakan tiga set mata ketika mendahului 5-1 namun bertahan untuk memimpin 2-0 pada set kelima.- AFP