Grant bidas dakwaan Jordan dalam ‘Last Dance’

LOS ANGELES, 20 MEI – Bekas pemain Chicago Bulls Horace Grant menghentam Michael Jordan semalam, menuduh pemain legenda NBA itu memberikan versi tidak benar dalam siri dokumentari popular ‘The Last Dance.’

Dalam satu temu bual bersama radio ESPN, Grant, yang memenangi tiga kejohanan NBA bermain bersama Jordan, berkata dokumentari itu telah disunting untuk memberikan Jordan satu gambaran yang baik.

“Saya boleh katakan ia menghiburkan, tetapi kami tahu, siapa yang berada di sana sebagai rakan sepasukan, bahawa kira-kira 90 peratus daripadanya adalah karut dari segi kebenaran,” kata Grant.

“Ia tidak benar, disebabkan banyak perkara yang dikatakan oleh Jordan kepada beberapa rakan sepasukannya, bahawa rakan sepasukan menyokongnya.

“Namun ia disunting dalam dokumentari, jika anda mahu memanggilnya dokumentari.”

Gambar fail menunjukkan Michael Jordan ketika menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir 6 kejohanan bola keranjang NBA menentang Utah Jazz di Salt Lake City. – AP

Grant memberikan kritikan paling pedasnya atas cadangan yang dibuat oleh Jordan mengatakan beliau menjadi sumber utama untuk ‘The Jordan Rules’, sebuah buku yang mendedahkan kerjaya hebat NBA.

“Dusta, dusta, dusta,” kata Grant mengenai dakwaan itu. “Jika MJ menaruh dendam dengan saya, biarlah kami selesaikannya dengan berani. Biarlah kami cakap mengenainya. Ataupun kami boleh selesaikannya dengan cara lain.

“Akan tetapi, dia keluar dan berdusta mengatakan saya merupakan punca di sebalik ‘The Jordan Rules.’

Walaupun Grant mengaku ‘berkawan baik’ dengan penulis buku Sam Smith, beliau menegaskan beliau sentiasa melindungi kesucian bilik lokar.’

“Saya tidak sekali-kali meletakkan apa-apa yang bersifat peribadi di luar sana,” kata Grant. – AFP