Grant punah harapan Brighton

BRIGHTON, UNITED KINGDOM 27 OKT – Karlan Grant menjaringkan gol pertamanya untuk West Brom ketika pasukannya kembali bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Jaringan sendiri dari West Brom oleh Jake Livermore memberi pasukan Graham Potter mendahului perlawanan di separuh masa pertama tetapi Seagulls tidak dapat bertahan untuk memenangi perlawanan.

Skuad Seagulls gagal mempertahankan kedudukan sekali pun menghadirkan beberapa percubaan berbahaya di awal perlawanan.

Neal Maupay menjaringkan gol menerusi hantaran lintang Adam Lallana sebelum dibatalkan kerana ofsaid dan percubaan Leandro Trossard berjaya diselamatkan.

Lima minit sebelum rehat, serangan Brighton berhasil apabila percubaan Branislav Ivanovic mengeluarkan bola terkena Livermore dan masuk ke dalam gawang sendiri.

Aksi penjaga gawang Burnley, Nick Pope (kiri) dan Chris Wood cuba merampas bola dari Karlan Grant (tengah) dari West Brom semasa perlawanan EPL antara West Bromwich Albion dan Burnley di Hawthorns semalam. – AP

West Brom terus memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah ketika perlawanan kembali di separuh masa kedua, memaksa Mat Ryan menyelamatkan satu lagi percubaan dari Filip Krovinovic.

Matheus Pereira mempunyai peluang baik di pertengahan separuh masa kedua tetapi usahanya itu terkena palang.

West Brom yang dikendalikan Slaven Bilic bangkit di separuh masa kedua dan Grant akhirnya menyamakan kedudukan selepas mendapat umpanan dari Callum Robinson pada minit ke-83 sekali gus memastikan mereka pulang dengan satu mata.

Pengurus Brighton, Potter berkata dia kecewa dengan keputusan seri itu.

“Kami akan menganalisis mengapa kami tidak beraksi baik di separuh masa kedua, mengapa kami merosot.

“Tetapi kami harus memuji usaha pihak lawan kerana meningkatkan permainan mereka,” katanya. – AFP