Greece gesa mesyuarat tergempar EU terhadap Turki

ATHENS, 11 OGOS – Greece mahu Kesatuan Eropah (EU) mengadakan mesyuarat menteri luar negeri tergempar, kata pejabat perdana menteri hari ini di tengah perbalahan dengan Turki di laut Mediterranean.

“Menteri luar negeri meminta mesyuarat tergempar majlis hal ehwal luar negeri EU,” kata pejabat Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis.

Pertikaian meletus kelmarin ketika Ankara menghantar kapal penyelidikan Oruc Reis ke pulau Kastellorizo, di mana Turki mempertikaikan hak maritim Greece.

Penjejak marin hari ini melihat kapal Turki itu berada di pulau Crete. Ia dikawal oleh armada tentera laut Turki dan dibayangi oleh kapal perang Greece.

Turki telah mengumumkan bahawa Oruc Reis akan menjalankan aktiviti antara 10 dan 23 Ogos.

Penjelajahan sumber tenaga di Mediterranean yang kaya dengan gas adalah penyebab ketegangan antara Turki dan jirannya termasuk Greece, Cyprus dan Israel.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berunding dengan ketua ketenteraannya dan bercakap dengan Presiden Majlis EU, Charles Michel dan Setiausaha Jeneral NATO, Jens Stoltenberg. – AFP