Greece, Perancis tandatangani perjanjian jet

ATHENS, GREECE, 25 JAN – Greece dijangka akan menandatangani perjanjian bernilai 2.3 bilion euro (AS$2.8 bilion) bersama Perancis hari ini untuk membeli 18 jet pejuang Rafale ketika ketegangan memuncak dengan negara jiran, Turki.

Florence Parly, Menteri Pertahanan Perancis, dijangka tiba di Athens untuk menandatangani perjanjian bagi menghantar 12 pesawat terpakai dan enam yang baharu yang dibina oleh Dassault Aviation selama dua tahun bermula pertengahan 2021.

Perancis telah berpihak kepada Greece dalam pertikaian berhubung sempadan di Laut Aegean dan timur Mediterranean yang telah mengakibatkan anggota NATO, Greece dan Turki diambang perang beberapa kali dalam dekad baru-baru ini.

Ketegangan memuncak sekali lagi musim panas lalu apabila misi jelajah Turki di perairan yang dipertikaikan mencetuskan pertambahan tentera.

Greece dan Turki telah bersetuju untuk memulakan semula rundingan yang dihasratkan untuk menyelesaikan pertikaian secara aman namun Athens berkata ia akan meneruskan program berbilion euro untuk meningkatkan ketenteraannya.

Bermula Mei, khidmat kebangsaan mandatori dalam Angkatan Bersenjata Greece akan ditingkatkan dari sembilan kepada 12 bulan untuk merangsang jumlah mereka yang berkhidmat dalam anggota beruniform itu. – AP

Florence Parly (kanan) dan rakan sejawatannya Greece, Nikos Panagiotopoulos bercakap semasa mesyuarat mereka di Athens pada 25 Januari. – AP