Greece terima penerbangan antarabangsa

CORFU, GREECE, 1 JULAI – Greece bersedia untuk menerima penerbangan pelancong ke destinasi pulaunya hari ini untuk kali pertama dalam beberapa bulan, tatkala ia berlumba untuk menyelamatkan musim pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik koronavirus.

Lebih 100 penerbangan dari negara EU lain dan beberapa negara bukan EU terpilih dijangka tiba di 14 lapangan terbang serantau termasuk Corfu, Santorini, Mykonos, Rhodes dan Crete, kata operator lapangan terbang Fraport.

Penerbangan dari Britain, salah satu pasaran perjalanan paling menguntungkan, tidak dijangka bermula sehingga 15 Julai paling awal, sejajar dengan cadangan EU. Dasar sama juga dilaksanakan untuk Amerika Syarikat, Rusia, Turki dan Sweden.

Semua lapangan terbang Greece kini menerima penerbangan antarabangsa dan pelabuhan Patras dan Igoumentsa sekali lagi akan menerima feri dari Itali.

Empat belas negara bukan EU, termasuk Australia, Kanada, Jepun dan Uruguay, dianggap selamat untuk pelawat kembali semula. – AFP

Penumpang penerbangan dari Frankfurt tiba di lapangan terbang Ioannis Kapodistrias di Pulau Corfu kelmarin. – AFP