Greece, Turki sedia selesai isu Mediterranean

ATHENS, 28 SEPT – Amerika Syarikat (AS) hari ini mengalu-alukan kesediaan Greece untuk mencari penyelesaian kepada perbalahan wilayah dengan Turki, selepas Setiausaha Negara Mike Pompeo mengadakan rundingan dengan pegawai Greece.

Tuntutan ke atas wilayah yang kaya dengan sumber di bawah Mediterranean harus diselesaikan ‘secara aman sejajar dengan undang-undang antarabangsa,” kata Pompeo dan rakan sejawatan Greece Nikos Dendias dalam kenyataan bersama selepas rundingan di bandar Thessaloniki.

Kedua-dua negara anggota NATO telah menghabiskan berminggu-minggu bertelagah selepas Ankara menghantar kapal peninjau ke perairan dipertikaikan itu, membawa masuk kuasa Eropah lain dan mencetuskan kebimbangan mengenai krisis lebih teruk.

Turki juga telah menimbulkan kemarahan Greece berhubung perjanjian selepas peperangan yang menetapkan status quo di Aegean dan Mediterranean Timur.

Namun pada minggu lalu Athens dan Ankara berkata mereka bersedia untuk memulakan rundingan.

Pompeo, dalam lawatan dua hari ke Greece, berkata dalam kenyataan bersama bahawa AS ‘mengalu-alu kesediaan Greece untuk berunding dengan negara lain di rantau demi mencapai perjanjian pembatasan laut.’ – AFP

Mike Pompeo (kiri) dan Menteri Pembangunan dan Pelaburan Greece Adonis Georgiadis bergambar semasa majlis menandatangani perjanjian di utara bandar Thessaloniki kelmarin. – AFP