Green Brunei ajak tanam pokok di rumah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Sebagai sebahagian daripada Projek Environmental Education Tour dan sempena Hari Bertindak serta penyertaan Brunei dalam COP26, Green Brunei dengan kerjasama Mitsubishi Corporation telah mengadakan Projek Stay at Home Tree Planting, hari ini.

Antara yang menyahut projek berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona di mana Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam telah menerima 10 pokok buah pelbagai jenis dan 10 pokok hiasan untuk ditanam di kawasan premis suruhanjaya tinggi berkenaan.

Hadir menyerahkan pokok-pokok berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan diterima oleh PYT Nahida Rahman Shumona.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan berupa kewangan untuk menyokong projek berkenaan supaya berjalan dengan lancar.

Projek berkenaan akan berterusan sehingga hujung November di mana para sukarelawan akan diberikan satu pokok untuk ditanam di rumah masing-masing.

Pokok-pokok berkenaan disumbangkan oleh Mitsubishi Corporation dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei. Antara pokok yang diberikan adalah pokok buah termasuk nangka, durian, salat dan mantoa di mana pokok-pokok berkenaan diberikan kepada sukarelawan secara rambang.

Orang ramai yang ingin menyertai projek berkenaan dikehendaki memuat baik aplikasi Mengalinga dan seterusnya membuat tempahan dalam aplikasi berkenaan dan seterusnya ikuti tata cara menyer-tai projek berkenaan.

Bagi syarikat dan sekolah yang ingin menyertai secara berkumpulan, pihak penganjur akan menguruskan penghantaran 50 hingga 150 pokok setiap kumpulan.

Syarikat dan sekolah yang berminat dikehendaki untuk menghantar e-mel kepada Green Brunei disertai dengan nama syarikat atau sekolah, nombor telefon dan tarikh penghantaran.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyerahkan pokok-pokok yang disumbangkan Mitsubishi Corporation dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei kepada PYT Nahida Rahman Shumona. – Gambar serahan Green Brunei