Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Sebanyak 250 pokok dipterokarpa telah ditanam semasa aktiviti penanaman pokok anjuran Green Brunei dengan kerjasama Mitsubishi Corporation (Pejabat Perhubungan Brunei) dan Syarikat Minyak Brunei Shell, kelmarin di Hutan Simpan Berakas.
Ia merupakan sebahagian daripada Projek Pendidikan Alam Sekitar bagi meningkatkan kesedaran akan perubahan iklim seterusnya memberi peluang kepada para belia untuk terlibat secara langsung dalam usaha ke arah mencapai tahap rendah karbon dan masa hadapan yang berdaya tahan iklim.
Seramai 100 orang sukarelawan terdiri daripada pelajar dari pelbagai institusi serta orang ramai mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut yang juga disokong oleh Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setakat tahun ini, sebanyak 507 pohon pokok telah ditanam di bawah Projek Pendidikan Alam Sekitar.
Matlamat projek adalah untuk membangunkan belia yang dilengkapi dengan pengetahuan tentang perubahan iklim dan untuk menyemai kesedaran dan penghargaan yang lebih tinggi terhadap sumber alam semula jadi.
Aktiviti lain di bawah projek itu termasuk kempen membersihkan sungai, pertandingan seni dan lawatan sambil belajar ke Tenaga Suria Brunei dan Makmal Tenaga Seria.
