Greenwood penyelamat United ikat West Ham

MANCHESTER, 23 JULAI – Manchester United semakin hampir untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan ketika Mason Greenwood menyelamatkan pasukannya, menyamakan kedudukan seri 1-1 menentang West Ham semalam.

Pasukan Ole Gunnar Solskjaer ketinggalan 1-0 menerusi sepakan penalti Michail Antonio pada separuh masa pertama di Stadium Old Trafford.

Tetapi penyerang remaja, Greenwood berjaya menemukan gol penyamaan pada separuh masa kedua sekali gus membwa pasukannya ke tangga ketiga di Liga Perdana Inggeris (EPL).

United berkongsi mata dengan Chelsea yang berada di tempat keempat dengan perbezaan gol setelah tewas menentang juara Liverpool pada perlawanan semalam.

United akan berada di kedudukan empat teratas jika mereka seri atau menang dalam perlawanan penentuan menentang Leicester yang berada di tangga kelima pada Ahad ini.

Aksi Mason Greenwood ketika meraikan jaringannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan West Ham di Stadium Old Trafford, Manchester, England, semalam. – AP

United memiliki kelebihan satu mata dengan Leicester sebelum perlawanan terakhir EPL mereka musim ini di Stadium King Power.

Pasukan Solskjaer mempamerkan aksi yang baik dan mereka kini meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam 13 perlawanan di liga serta memberi harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Mereka juga boleh layak ke pertandingan Eropah jika United memenangi Liga Europa yang akan disambung semula pada bulan Ogos.

Solskjaer pasti lega kerana tiada lagi kesilapan yang dilakukan oleh David De Gea setelah penjaga gol United melakukan kecuaian pada perlawanan baru-baru ini di Piala FA.

Pemain Sepanyol itu melakukan dua kesalahan memalukan yang menyebabkan gol dalam kekalahan mereka 3-1 di separuh akhir Piala FA menentang Chelsea.

Tetapi De Gea tetap menjadi pemain pilihan utama di setiap perlawanan liga sejak Solskjaer mengambil alih tugas sebagai pengurus United.

West Ham yakin secara matematik akan terselamat di EPL dari penyingkiran.

United tewas untuk pertama kalinya dalam 20 perlawanan di semua pertandingan pada hujung minggu lalu, namun United kekal berusaha untuk mendapatkan tempat di Liga Juara-Juara musim depan. – AFP