Greenwood wira United

MANCHESTER, 20 SEPT – Pemain remaja Mason Greenwood menyelamatkan Manchester United daripada dimalukan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan juara Kazakh, Astana 1-0 di Old Trafford awal pagi tadi.

Greenwood, 17, menjadi penjaring termuda buat United dalam kejohanan Eropah apabila melepaskan rembatan leret menewaskan Nenad Eric ketika perlawanan berbaki 17 minit.

“Kami memang tahu bahawa dia adalah antara penyudah terbaik yang kami miliki,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mengenai Greenwood.

Kemenangan menjadi alasan kuat bagi keputusan Solskjaer untuk membuat sembilan perubahan ke atas kesebelasan yang menang ke atas Leicester baru-baru ini, dengan sejumlah besar pemain muda diberikan peluang untuk membuktikan diri.

Greenwood disertai oleh Angel Gomes, Axel Tuanzebe dan Tahith Chong dalam kesebelasan utama menentang Astana.

Pemain tengah dari Brazil Fred menyaksikan percubaannya di awal perlawanan terkena palang ketika United bermula garang, menyaksikan Eric membuat dua aksi menyelamat bagi menafikan Marcus Rashford. – AFP

Mason Greenwood ketika menjaringkan gol kemenangan United ke atas Astana dalam aksi Kumpulan L Liga Europa. – AP