Griezmann selamatkan air muka Perancis

STRASBOURG, 2 SEPT – Juara bertahan Piala Dunia, Perancis memerlukan gol penyamaan menerusi Antoine Griezmann dan terpaksa bertahan dengan 10 orang pemain menentang Bosnia yang berakhir seri 1-1 ketika Perancis meneruskan kempen untuk layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Edin Dzeko menjaringkan gol pendahuluan buat Bosnia pada separuh masa pertama di Strasbourg semalam, tetapi tidak lama selepas itu, Griezmann berjaya menyamakan kedudukan.

Pemain pertahanan Sevilla, Jules Kounde dibuang padang pada minit ke-51 selepas mengasari pemain Bosnia dari Arsenal, Sead Kolasinac.

Keputusan yang mengecewakan selepas kekalahan mereka di pusingan 16 akhir di Euro 2020, namun Perancis kekal berada di tangga teratas Kumpulan D dan layak secara automatik ke Piala Dunia seterusnya.

Mereka memperoleh lapan mata dari empat perlawanan, empat mata lebih banyak daripada tempat kedua Ukraine, yang seri 2-2 menentang Kazakhstan kelmarin dan akan menjadi tuan rumah menentang Perancis di Kiev Ahad ini.

Aksi Antoine Griezmann dari Perancis semasa mengawal bola dalam perlawanan kelayakan kumpulan D Piala Dunia 2022 menentang Bosnia di Stadium La Meinau, Perancis semalam. – AP

“Jelas lebih sukar bermain dengan 10 orang. Kami mempunyai beberapa peluang tetapi bukan hasil yang kami cari,” jelas jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Sudah tentu kami mahukan tiga mata tetapi kempen kelayakan ini sukar bagi semua orang.

“Kami meraih satu mata lagi dan kami perlu terus mencari lebih banyak lagi dalam baki perlawanan.”

Kad merah Kounde dan jaringan Griezmann menjadi tumpuan semasa perlawanan apabila VAR pertama kali diperkenalkan oleh UEFA untuk kelayakan Piala Dunia, ia tidak digunakan dalam tiga pusingan pertama perlawanan pada bulan Mac lalu tetapi kini telah dilaksanakan di seluruh benua.

Kounde pada mulanya dilayangkan kad kuning selepas mengasari Kolasinac tetapi ia ditukar menjadi merah ketika pengadil melihat tayangan semula di skrin VAR.

Ia adalah malam yang mengecewakan bagi Perancis tetapi mereka mungkin tidak dibantu oleh dua pemain penting mereka yang terganggu oleh musim perpindahan.

Kylian Mbappe akhirnya kekal di Paris Saint-Germain walaupun Real Madrid melakukan bidaan untuk membawanya ke Bernabeu. Sementara Griezmann kembali semula ke Atletico Madrid dari Barcelona. – AFP