Griezmann selamatkan satu mata

BUDAPEST, 20 JUN – Antoine Griezmann menyelamatkan pasukan dengan menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu Hungary di Budapest dengan pasukan juara Piala Dunia itu terlepas peluang untuk mengesahkan kedudukan di kelompok 16 terakhir di Euro 2020, kelmarin.

Hungary memberi tekanan untuk membuat kejutan di Kumpulan F apabila Attila Fiola meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada masa tambahan separuh masa pertama selepas mengambil kesempatan atas kelekaan pemain pertahanan Perancis.

Tetapi Griezmann, pemenang Kasut Emas di Euro 2016, menyamakan kedudukan pada minit ke-66 dan Perancis mengelak daripada menderita kekalahan pertama sejak Jun 2019.

“Satu mata. Bukan seperti apa yang kami harapkan, tetapi kami tetap mengambilnya,” kata ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps memberitahu TF1.

“Selepas separuh masa pertama yang mana kami sepatutnya mendahului perlawanan, kami mendapati berada di belakang dengan hanya satu peluang sahaja.

“Jelas sekali bermain di hadapan peminat mereka memberikan mereka sedikit kekuatan.” – AFP

Reaksi Antoine Griezmann ketika mengawal bola sambil cuba dirampas oleh pemain pertahanan Hungary semasa pertemuan mereka di Budapest, baru-baru ini. – AP