Griezmann terharu

MADRID, 22 JULAI – Antoine Griezmann kelmarin mengaku bahawa dia menangis kegembiraan apabila perpindahannya ke Barcelona tercapai selepas pemergiannya dibayangi kontroversi dari bekas kelabnya, Atletico Madrid.

Pemenang Piala Dunia itu berada di Tokyo bersama Barca menjelang pertembungan dengan Chelsea esok (Selasa) setelah gergasi La Liga itu membelanjakan 120 juta euro (AS$135 juta) untuk klausa pelepasannya sehingga mencetuskan perbalahan antara pemain dan kelab.

“Saya memanggil ayah saya dan saya mula menangis kegembiraan kerana perpindahan itu dimuktamadkan. Semuanya sudah berakhir.

“Saya bersama rakan-rakan, isteri dan anak-anak telah mengharungi masa yang luar biasa,” kata Griezmann dalam wawancara bersama akhbar harian sukan, Marca.

Pemain berusia 28 tahun itu menambah bahawa beliau menysasarkan kejayaan Eropah bersama Barcelona selepas kelab Catalan itu tersingkir dua kali dari Liga Juara-Juara dalam tempoh dua tahun lalu.

“Jika anda bertanya kepada peminat, mereka akan memberitahu anda (mereka mahu menang) ketiga-tiga gelaran (La Liga, Liga Juara-Juara dan Copa del Rey).

Begitu juga para pemain, para pemimpin dan saya juga. Kami mempunyai pasukan untuk memenangi segala-galanya, sukar tetapi kami perlu bekerja keras,” tambah beliau.

Tidak lama selepas Barca mengumumkan penandatanganan Griezmann, Atletico mengadu mereka dan pemain Perancis itu telah merundingkan perjanjian sebelum harga beli turun dari 200 juta euro pada awal Julai, sambil menambah mereka telah ‘memulakan prosedur yang sesuai’ untuk mempertahankan ‘hak dan kepentingan sah mereka’. – AFP

Griezmann bergambar di pentas sempena majlis resepsi pasukan di Tokyo, kelmarin. – AFP