Grizzlies singkir Thunder, cipta rekod terbaharu

LOS ANGELES, 3 DIS – Memphis Grizzlies membelasah Oklahoma City Thunder 152-79, ketika sembilan orang pemain mencapai angka berganda untuk memberikan mereka margin kemenangan terbesar dalam sejarah Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan.

“Rasanya hebat,” kata pemain simpanan De’anthony Melton. “Rasa sangat bagus apabila masuk dalam buku sejarah, lebih-lebih lagi di hadapan peminat kami.

Pasukan Grizzlies menang 73 mata dan merupakan pasukan pertama dalam sejarah liga dengan memenangi sekurang-kurangnya 70 mata. Rekod sebelumnya iaitu 68 mata dipegang oleh Cleveland Cavaliers, yang menewaskan Miami Heat 148-80 pada 17 Disember 1991.

Warga Amerika, Jaren Jackson mengetuai serangan dengan 27 mata, sementara penyerang Sepanyol Santi Aldama berakhir dengan 18 mata dan 10 rebound untuk Grizzlies, yang telah menjuarai tiga perlawanan berturut-turut walaupun tanpa pengawal Ja Morant yang cedera.

“Kami mesti menjadi lebih baik. Kami perlu terus memperkukuh pertahanan. Apabila pertahanan kami dan serangan berkesan, kami pasukan hebat,” kata Melton. Pemain simpanan Grizzlies mara dengan cemerlang apabila enam daripada tujuh pemain itu menamatkan saingan dalam angka berganda termasuk Melton, yang menjaring lapan daripada 10 dari gelanggang dan melaku tiga daripada lima percubaan three-point dalam mencatat 19 mata di Memphis.

”Kami tahu dengan kecederaan Morant, kami tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Melton. “Kami perlu bangkit.”

Ia adalah perlawanan ketiga berturut-turut yang didahului oleh Grizzlies dari awal hingga akhir. – AFP

John Konchar cuba melakukan jaringan semasa dikawal penyerang Oklahoma City Thunder pada separuh masa kedua permainan bola keranjang NBA pada 2 Disember 2021. – AP