Grizzlies tidak mudah putus asa

LOS ANGELES, 29 OKT – Ja Morant menjaringkan 30 mata ketika Memphis Grizzlies menamatkan rekod tanpa kalah Golden State pada musim ini setelah bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 104-101 di San Francisco, kelmarin.

Warriors yang berada di prestasi terbaik dilihat akan melakar kemenangan kelima berturut-turut selepas menjaringkan 37 mata dalam suku pertama dan mendahului 19 mata pada awal suku kedua.

Setelah menamatkan separuh masa ketinggalan 10 mata dengan 55-45, Morant membantu Memphis untuk bangkit di mana Grizzlies kembali mengejar perlawanan sebelum memenanginya pada masa tambahan.

“Saya merasakan kami tidak bermain dengan baik pada awalnya, kami belum bersedia untuk bermain. Kami membenarkan mereka untuk merasa selesa dan menghadiahkan mereka jurang mata yang besar,” kata Morant.

“Tetapi semua orang tahu pemain Grizzlies, kami bermain sehingga penamat. Kami kembali bangkit, mula bermain mengikut perancangan dan akhirnya berjaya mendahului perlawanan. Kami perlu berjuang,” tambah Morant, yang menjaringkan mata terakhir pada masa tambahan untuk melengkapkan kemenangan untuk Grizzlies.

Reaksi Ja Morant membuat jaringan untuk Memphis Grizzlies semasa menentang Golden State Warriors di San Francesco, semalam. – AP

The Grizzlies memperbaiki rekod dengan 3-2 sementara Warriors kini mencatatkan 4-1.

Stephen Curry memimpin Warriors dengan menjaringkan 36 mata namun semakin buntu menambah jaringan pada suku terakhir ketika pertahanan Memphis kembali mantap.

Jurulatih Warriors, Steve Kerr meluahkan kekecewaan pasukannya yang sebelum itu mendahului perlawanan.

“Kami bermain dengan baik pada suku pertama,” kata Kerr.

“Saya harus memberikan pujian. Mereka bermain dan kembali bangkit. Matlamat kami pada musim ini adalah untuk mengurangkan kekalahan kepada kadar yang boleh diterima dan kami hanya melakukannya sekali.

“Satu pengajaran yang baik untuk kami. Kami akan belajar daripada kekalahan ini, musim masih di peringkat permulaan jadi saya yakin kami akan meningkat.” – AFP