Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    GSK bakal hasil vaksin malaria pertama – UNICEF

    NEW YORK, 17 OGOS – Syarikat farmaseutikal Britain, GSK memperoleh kontrak untuk menghasilkan vaksin malaria pertama di dunia bagi melindungi jutaan kanak-kanak daripada penyakit yang membawa maut itu, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa, lapor Xinhua.

    Kontrak bernilai sehingga AS$170 juta itu akan menghasilkan 18 juta dos vaksin RTS,S yang tersedia dalam tempoh tiga tahun akan datang dan berpotensi menyelamatkan ribuan nyawa kanak-kanak setiap tahun.

    Kanak-kanak bawah lima tahun masih antara yang paling terdedah kepada kuman malaria. Pada 2020, hampir setengah juta kanak-kanak lelaki dan perempuan mati akibat penyakit itu di Afrika sahaja, pada kadar satu kematian setiap minit.

    Pengarah Bahagian Bekalan UNICEF Etleva Kadilli, berkata pelancaran itu menghantar mesej jelas kepada pembangun vaksin malaria untuk meneruskan usaha mereka.

    “Kami harap ini hanyalah permulaan. Inovasi berterusan diperlukan untuk membangun vaksin baharu dan generasi baharu vaksin pada masa depan bagi meningkatkan bekalan yang ada, dan membolehkan pasaran vaksin yang lebih sihat,” katanya.

    “Ini merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam usaha kolektif kami untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan mengurangkan beban malaria sebagai sebahagian daripada program pencegahan dan kawalan malaria yang lebih luas,” tambahnya.

    Malaria berpunca daripada parasit dan disebarkan kepada manusia melalui nyamuk Anopheles betina yang dijangkiti. Walaupun boleh dicegah dan dirawat, penyakit itu boleh membawa maut jika tidak diubati.

    Vaksin malaria RTS,S, adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan selama 35 tahun dan vaksin pertama yang dibangunkan untuk menentang penyakit parasit. Ia dilancarkan dalam program perintis 2019 diselaraskan oleh WHO, di Ghana, Kenya dan Malawi, dan telah sampai kepada lebih 800,000 kanak-kanak.

    UNICEF menjangkakan menerima permintaan yang tinggi untuk vaksin malaria dari kalangan negara yang terjejas. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...