KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng hari ini mempertahankan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang terbukti lebih membebankan golongan miskin secara tidak adil berbanding kalangan kaya.
“(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap segenap lapisan rakyat Malaysia, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang tidak dikenakan cukai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Lim, ini sekali gus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat biasa sehinggakan mereka tiada pilihan untuk mengubah kerajaan buat pertama kalinya selepas 61 tahun. Malah, rakyat juga sedar apabila tiada perubahan (kerajaan), ini bermakna GST akan terus kekal memberi tekanan dan membebankan ekonomi mereka.

Reaksi beliau itu sebagai menjawab kenyataan berterusan Najib yang mempertahankan GST dengan mendakwa cukai berkenaan hanya dikenakan ke atas golongan kaya dan pemansuhannya hanya menguntungkan kalangan mewah dan usahawan. Bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu turut mendakwa kehilangan punca pendapatan daripada golongan kaya serta usahawan besar tidak lagi dapat digunakan bagi membantu penduduk miskin daripada kumpulan B40.
Malah, Najib turut menyelar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan bahawa beliau berharap ‘Malaysia Baharu itu bukan saja untuk kalangan kaya dan usahawan besar.’
“Kerajaan Malaysia Baharu sudah menunaikan janji kita dengan menghapuskan GST. Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST juga (terbukti) tidak benar sama sekali. – Bernama