Gua Niah bakal mempunyai laluan kereta buggy

SUBIS, SARAWAK, 29 NOV – Gua Niah, sebuah gua yang mempunyai sejarah awal kewujudan manusia di sini akan dinaik taraf serta bakal mempunyai laluan kereta buggy dari Pangkalan Lobang ke gua utama yang akan menjadi tarikan terbaru pelancong.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek naik taraf jangka masa panjang di gua itu tidak akan mengganggu ekosistem, dan akan dilaksanakan dengan berkonsepkan mesra alam.

Katanya projek menaik taraf itu akan memudahkan pelawat apabila mereka tidak perlu lagi berjalan kaki kira-kira satu jam untuk ke gua berkenaan kerana akan mempunyai pilihan menaiki kereta buggy yang dikuasakan dengan bateri sebagai menjaga kualiti alam sekitar.

“Kita tahu Gua Niah ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri, malah ia akan menjadi tarikan global sekali gus menjadi pusat ilmu mengenai sejarah kemanusiaan,” katanya pada majlis perasmian Waterfront Niah Fasa Dua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pelaksanaan projek itu nanti akan dapat merancakkan lagi pembangu-nan ekonomi penduduk di sekitar Niah, Bekenu, Subis dan Sibuti.

“Sebab itu dalam Bajet Sarawak 2022, saya tidak jemu untuk memberikan peruntukan yang besar bagi kawasan di luar bandar iaitu sebanyak 70 peratus daripada RM10 bilion peruntukan pembangunan,” katanya. – Bernama

Gua Niah, merupakan sebuah gua yang mempunyai sejarah awal kewujudan manusia di sini akan dinaik taraf serta bakal mempunyai laluan kereta  ‘buggy’ dari Pangkalan Lobang ke gua utama yang akan menjadi tarikan terbaru para pelancong. – Bernama