Guaido beri amaran keras

CARACAS, 11 Feb – Pemimpin pembangkang, Juan Guaido, yang juga diiktiraf sebagai presiden sementara Venezuela oleh kira-kira 50 buah negara, memberi amaran kepada pihak tentera kelmarin bahawa menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki negara itu merupakan jenayah kemanusiaan.

Amaran itu dibuat selepas bantuan antarabangsa menjadi tumpuan utama dalam pertarungan antara Guaido dan Presiden Nicolas Maduro di mana pihak tentera turut berperanan.

Bekalan perubatan dan makanan yang telah dihantar oleh Amerika Syarikat (AS) telah dihalang selama tiga hari di Cucuta, Colombia selepas tentera Venezuela menutup jambatan yang menghubungkan dua buah negara itu.

“Ada pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini dan pihak rejim perlu tahu,” kata Guaido selepas menghadiri perhimpunan kelmarin bersama isteri dan anak damitnya.

“Ini merupakan jenayah kemanusiaan, anggota tentera bersenjata.”

Juan Guaido selepas menghadiri mesyuarat bersama pelajar universiti di Central University of Venezuela baru-baru ini. Guaido memberi amaran kepada pihak tentera kelmarin bahawa menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki negara itu merupakan jenayah kemanusiaan. – AP

Beliau kemudiannya memberi amaran bahawa pihak tentera perlu bertanggungjawab atas kematian para pembantah dan mengulangi seruannya untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran esok bagi memperingati kira-kira 40 orang yang terbunuh dalam kekacauan yang berlaku sejak 21 Januari.

Maduro telah menolak bantuan kemanusiaan tatkala AS berdalih untuk campur tangan di Venezuela sekali gus menyifatkan penyerahan bantuan itu bermotifkan politik dan mengecam sekatan AS terhadap kekurangan bekalan makanan dan perubatan.

Guaido memberikan tindak balas bahawa pihak rejim menolak untuk mengambil tahu mengenai krisis yang dicetuskan oleh mereka sendiri, sementara rakyat Venezuela berusaha untuk berdepan dengan kecemasan kemanusiaan.

Mengalami krisis terburuk dalam sejarah moden, rakyat Venezuela perlu berdepan kekurangan yang mengancam nyawa ekoran inflasi melampau yang menyebabkan gaji dan simpanan tidak bernilai.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 2.3 juta rakyat Venezuela telah melarikan diri dari negara itu sejak 2015.

Tetapi Guaido kelmarin menegaskan bahawa beliau tidak akan mengadakan rundingan dengan Maduro di mana beliau percaya Maduro akan menggunakan rundingan itu untuk membuang masa.

“Demokrasi kini semakin hampir berbanding sebelumnya, masa depan milik kita,” katanya.

Minggu lalu Maduro menolak tuntutan Kesatuan Eropah untuk mengadakan pilihan raya, memaksa mereka untuk mengiktiraf Guaido. – AFP