CARACAS, 5 Mac – Ketua pembangkang Venezuela, Juan Guaido menerima sambutan wira daripada ribuan penyokong yang melaungkan slogan ‘Ya, anda boleh!’ tatkala dia kembali ke Caracas semalam, sekaligus menafikan ancaman penangkapan oleh kerajaan Presiden Nicolas Maduro yang berdepan pergelutan.
“Kami sedar risiko yang kami hadapi, ia tidak akan dapat menghentikan kami. Rejim, pemerintahan diktator perlu memahaminya,” jelas Guaido, yang diiktiraf sebagai presiden sementara oleh lebih 50 buah negara, di hadapan perhimpunan orang ramai.
“Kita lebih kuat berbanding sebelumnya, mari teruskan bantahan jalanan.”
Para penyokong, media dan diplomat dari negara-negara sekutu menyambut ketibaan Guaido di lapangan antarabangsa Caracas sebelum bergerak menuju ke bandar bagi menghadiri sambutan besar-besaran yang diadakan oleh ribuan penyokongnya.
Di sana, Guaido telah mengumumkan satu bantahan baharu pada Sabtu untuk menambahkan lagi tekanan ke atas Maduro.
“Kesemua rakyat Venezuela akan kembali ke jalanan. Kami tidak akan berhenti walau sesaat sehinggalah kebebasan berjaya dicapai,” katanya.
Para penyokongnya menjulang tinggi bendera Venezuela dan potret pemimpin muda itu dengan melaungkan slogan ‘Guaido! Guaido’ dan ‘Ya, anda boleh!’
Sebelum ketibaan Guaido, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Presiden Mike Pence telah memberi amaran kepada Maduro untuk memastikan keselamatannya. Manakala, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo kemudiannya memuji ‘kepulangan selamat’ Guaido.
“Sebarang ancaman, keganasan atau cubaan menakut-nakutkan tidak akan diterima dan akan berdepan dengan tindakan pantas,” kata Pence. – AFP


































