Guaido ‘kembali’ ke Venezuela

CARACAS, 4 Mac – Penyokong pembangkang di Venezuela dijangka membanjiri jalan-jalan raya hari ini selepas pemimpin Juan Guaido menyeru bagi bantahan besar-besaran terhadap Presiden Nicolas Maduro, tatkala presiden sementara itu bersedia untuk kembali selepas seminggu mengunjungi negara-negara sekutu di Amerika Latin.

Kemunculan semula Guaido di Venezuela akan memberikan cabaran kepada Maduro, yang akan memutuskan sama ada akan menahannya kerana mengingkari satu pengharaman perjalanan – sekali gus membangkitkan kecaman antarabangsa atau membenarnya masuk tanpa diganggu, yang akan menjejas kewibawaannya, menurut penganalisis.

“Saya mengumumkan kepulangan saya ke Venezuela, saya menyeru semua rakyat Venezuela agar berkumpul di seluruh negara esok pada jam 11 pagi,” kata Guaido di Twitter semalam.

Kemudian, dalam satu video yang dikongsi oleh isterinya di rangkaian media sosial, beliau berkata sekiranya kerajaan Maduro “cuba menculik kami, ia akan menjadi salah satu kesilapan terakhir yang dilakukannya.”

Guaido, yang diiktiraf oleh lebih 50 buah negara sebagai presiden sementara Venezuela, tidak berkata bagaimana atau bila dia akan kembali, sekalipun terdapat spekulasi yang mengatakan satu penerbangan dari ibu negara Colombia, Bogota ke Caracas merupakan laluan yang mungkin diambilnya.

Bagaimanapun, kemungkinan besar beliau merancang untuk menyelinap masuk ke sempadan dengan Colombia dalam cara yang sama beliau meninggalkan Venezuela, mendakwa pada masa itu beliau menerima bantuan daripada tentera Maduro.

Guaido mengadakan rundingan di Salinas, bandar peranginan pantai di barat Guayaquil pada Sabtu bersama Presiden Lenin Moreno dan bertemu dengan para pelarian Venezuela.

Semalam beliau telah bergerak keluar dari Salinas pada wakti tengah hari tanpa mendedahkan destinasinya. – AFP