Guaido sedia turun padang

CARACAS, 21 Feb – Pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido bercadang untuk berkunjung ke kawasan sempadan dengan Colombia untuk membawa masuk makanan dan ubat yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS), dalam mengingkari kerajaan yang di-sokong tentera, sekali gus membangkitkan kebimbangan kemungkinan berlakunya konfrontasi pada hujung minggu.

Guaido, yang telah menetapkan hari Sabtu sebagai tarikh akhir bagi membawa masuk bantuan, merancang untuk berlepas pada pukul 6 pagi dengan menaiki konvoi bas bersama anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang dikawal pihak pembangkang, dan menyaksikan pertembungan berisiko tinggi dengan Presiden Nicolas Maduro.

Atas arahan Maduro, pihak ketenteraan meningkatkan keselamatan sempadan dan menyekat jambatan utama sempadan untuk menghalang bekalan daripada memasuki negara itu dari Cucuta, Colombia, tempat di mana bertantan bekalan disimpan.

Meskipun tidak jelas apakah yang ingin dilakukan oleh Guaido, menurutnya, beliau telah menyenaraikan ratusan ribu sukarelawan dalam beberapa hari kebelakangan untuk membantu membawa masuk dan mengagihkan bantuan itu.

Semalam, beliau telah mengumpul pemandu-pemandu bas untuk pergi ke sempadan bagi mengambil bantuan untuk rakyat Venezuela yang berdepan dengan kekurangan.

Juan Guaido menyampaikan amanatnya semasa demonstrasi yang berlangsung kelmarin bagi menyeru sektor pengangkutan untuk menyokong beliau. – AFP

“Meskipun mereka mengugut dengan senjata ke atas kami dan kami semua pernah menerima ancaman, peluru getah dan malah peluru hidup, kami tidak takut,” Guaido berkata, ketika berdiri di bahagian belakang lori bersama para penyokong.

“Kami akan terus berada di jalan raya dengan semangat berani, menuntut kebebasan bagi seluruh Venezuela.”

Penghantaran makanan dan ubat-ubatan bagi penduduk yang dicengkam krisis telah menjadi tumpuan utama perebutan kuasa antara Maduro dan Guaido.

Ketua badan perundangan Venezuela berusia 35 tahun itu telah mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden pada 23 Januari dan sejak itu telah mendapat sokongan daripada lebih 50 buah negara.

Beliau mahu menyingkirkan Maduro, menubuhkan kerajaan peralihan dan mengadakah pilihan raya baharu.

“Ini mungkin tidak lama lagi, antara enam dan sembilan bulan, sebaik saja tempoh jawatan tidak sah Maduro pada masa ini berakhir,” Guaido memberitahu stesen televisyen Mexico, Televisa. – AFP