Guan Eng, isteri didakwa tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

BUTTERWORTH, 11 OGOS – Bekas Ketua  Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Lim, 60, Chew, 56, dan  Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Hakim itu membenarkan pasangan suami isteri itu dan Phang, masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula kes.

Mahkamah di sini mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Bagan itu dibawa sekali lagi ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan rasuah.

Prosiding dimulakan dengan pertuduhan terhadap Lim dibacakan, dan beliau berkata ‘tidak bersalah’.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi  Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd  ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot  282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung  mempunyai kepentingan. – Bernama